Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts sorted by relevance for query sahimin. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query sahimin. Sort by date Show all posts

Dilema Shafie Apdal Mahathir atau Muhyiddin



Oleh : Sahimin Mustapah

Ketika beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan terkini Kedah mengubah haluan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan arus politik negara, Sabah yang ditadbir Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan sekutunya Parti United Progressive Kinabalu Organisation (Dulu dikenali sebagai i Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu - UPKO) dan Pakatan Harapan Sabah (PH) ( Parti Keadilan Rakyat -PKR dan Democratic Action Party - DAP) mengambil sikap yang berbeza dengan mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Shafie) dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas bersama 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 14 Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah memberitahu demi kepentingan rakyat Sabah kerajaannya akan terus bekerjasama dengan mana-mana Kerajaan Persekutuan yang ada melalui pendekatan G2G (Kerajaan dengan Kerajaan).
Bagi Shafie walaupun Sabah sebuah negeri pembangkang, ia berkemampuan meneruskan semua rancangan pembangunannya, “Kelantan mampu menguruskan negeri itu meskipun sebagai pembangkang selama beberapa dekad, tidak ada sebab kenapa Sabah tidak dapat menguruskan negeri ini”.



Sejarah politik Sabah, ia pernah menjadi negeri pembangkang apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil keputusan mengejut keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) beberapa hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 untuk menyertai pembangkang Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan sekutunya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP. Keputusan PBS telah mendorong Parti United Malay National Organisation (UMNO) mengambil keputusan drastik melebarkan sayapnya ke negeri Sabah dengan kerjasama Parti United Sabah National Organisation (USNO) disamping Jawatankuasa Penaja UMNO Sabah yang dipelopori Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir sejak 1986 serta bekas pemimpin dan ahli parti BERJAYA. Sejak dari peristiwa tersebut sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan PBS, sentiasa bergelora dan menerima tekanan daripada kerajaan Persekutuan dan BN sehinggalah beberapa pemimpin PBS keluar parti dan kemudian menubuh parti baru seperti Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PBS Datuk Yong Teck Lee.

Keputusan PRU-14 2018 menyaksikan WARISAN berjaya memenangi 21 kerusi DUN daripada 45 calon yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun WARISAN masih belum mampu membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP kerana kekurangan 2 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah. BN mendakwa memiliki kelebihan 2 kerusi apabila parti Solidariti Tanah Air (Star) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyebelahi blok BN bagi membolehkan Datuk Musa Hj Aman (Musa) ke Istana mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehi untuk mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah.


Tidak sampai 24 jam selepas Musa mengangkat sumpah, Shafie pula mendakwa memperolehi sokongan majoriti 35 ADUN apabila 6 ADUN BN (2 ADUN UPKO bersama 4 ADUN UMNO) melompat menyokong kumpulan Shafie, kemudiannya turut mengangkat sumpah di Istana Negeri. Keadaan ini menyebabkan Sabah mempunyai 2 Ketua Menteri, mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 1985 dimana Presiden USNO Tun Datu Mustapha Datu Harun telah mengangkat sumpat Ketua Menteri terlebih dahulu dan selang beberapa hari kemudian Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan turut mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Haji Mohd Adnan Robert. Tindakan 6 ADUN BN tersebut adalah berpunca perubahan politik di Putrajaya apabila BN telah tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya di peringkat Persekutuan selepas memerintah negara selama tempoh 63 tahun. Mereka berpandangan adalah sukar memberi khidmat kepada rakyat sekiranya Sabah menjadi negeri pembangkang.

Konflik Shafie vs Musa berlanjutan apabila Musa bertindak menyaman Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang manakala pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Namun demikian Mahkamah Tinggi kemudiannya menolak kes pemula yang difailkan Musa bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dan seterusnya mengiktiraf Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya berkata isu sama ada pelantikan Shafie tidak berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif. Tindakan 6 ADUN BN yang menyokong pakatan WARISAN, DAP dan PKR sudah cukup membuktikan Musa telah hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri Sabah.

Negara sekali lagi dilanda krisis politik apabila runtuhnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu selepas 22 bulan memegang tampuk pemerintahan Persekutuan. Konflik ini sedikit sebanyak memberi tempias terhadap keutuhan kerajaan WARISAN-UPKO-PH. Keputusan Parti BERSATU keluar daripada gabungan PH menyebabkan ADUN yang masih bersama Shafie tinggal 43 orang sahaja. Dari segi angka kerajaan Shafie masih memiliki majoriti 2/3 satu kedudukan yang kukuh untuk beliau menyempurnakan baki mandat kerajaan beliau. Namun demikian apakah kedudukan ini benar-benar kukuh dan stabil? Apabila ditanya wartawan khabar angin mengenai ada usaha yang cuba membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan negeri sekarang di Sabah, Shafie berkata mereka tidak tahu siapa yang akan mahu (dibeli) tetapi mereka tidak akan memaksa sesiapa untuk kekal jika mereka tidak mahu. “Ketika saya membentuk Kerajaan Negeri, dia tidak membeli sesiapa. Tetapi saya fikir masanya sudah tiba untuk kita mengubah budaya politik di Sabah. Saya fikir kami mesti menunjukkan jalan kepada rakyat Sabah, apakah nilai-nilai yang betul untuk kami sebagai ahli politik dan pemimpin, untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Ketika krisis siapakah PM 8, Sabah dan Sarawak mendapat perhatian kerana peranan “kingmaker” dalam menentukan calon PM 8 yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 ADR dari seluruh negara. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Mahathir) dan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) gagal mendapat sokongan mencukupi, Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian kerana situasi persaingan semakin sengit apabila PH kembali menyokong Mahathir manakala Muafakat Nasional (MN), BN, BERSATU dan kumpulan Azmin Ali pula menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (Muhyiddin) sebagai PM 8. Akhirnya ia menyebelahi Muhyiddin apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokongnya manakala PBS dan Star mengambil sikap menyokong siapa sahaja dipilih PM 8.

Timbul persoalan mampukah kerajaan Shafie bertahan sebagai negeri pembangkang dengan tempoh pemerintahan hanya berbaki 2 hingga 3 tahun lagi. Jika sebelum ini 5 ADR Warisan dilantik 3 menteri penuh dan 2 timbalan menteri namun kali ini wakil Sabah di Persekutuan diwakili 3 menteri penuh dan 4 timbalan menteri daripada BERSATU (3), PBS(1), PBRS(1) dan Star(1) yang sudah tentu akan mengasak dan berusaha menawan Sabah daripada parti gabungan WARISAN. Jika sebelum ini perundingan Akta Malaysia 1963 dirundingi terus bersama PM Mahathir tetapi kali ini kerajaan Shafie terpaksa berurusan dengan kementerian khusus untuk Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Sejarah politik Malaysia, isu hubungan negeri-persekutuan sentiasa menjadi polemik khususnya negeri-negeri pembangkang samada ketika kerajaan BN mahupun PH. Kita boleh lihat dalam isu royalti minyak Kelantan dengan Persekutuan, kerajaan PH berdolak dalih walaupun manifesto PH secara jelas menyatakannya :-



Isu penularan surat larangan hadir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah terhadap kakitangan awam negeri ke majlis amanat Perdana Menteri bertarikh 6 Mac 2020 akan menjadikan polemik hubungan negeri-persekutuan kembali bermasalah. Begitulah juga dengan cadangan Ketua Badan Pimpinan BERSATU SABAH Datuk Seri Hajiji Noor yang mahukan fungsi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dihidupkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah. Katanya, penubuhan JPPS amat penting sebagai instrumen Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri sudah pasti akan merencatkan banyak projek-projek melibat kerajaan Persekutuan. Malah tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menjemput Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang merasmikan pelancaran Kempen Bilik Rehat Sihat JPNS di Sekolah Menengah (SM) St Paul, Beaufort telah mengundang teguran dan peringatan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di Sabah supaya tidak melakukan perkara yang dianggap mensabotaj kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Tanpa kerjasama yang erat negeri-persekutuan agak sukar kerajaan Shafie memenuhi janji-janji manifesto PRU-14. Dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin suram terutamanya isu ancaman corona virus (covic19) sudah tentu kerajaan negeri terpaksa mengkaji semula kedudukan semasa fiskal negeri . Sabah yang bergantung kepada dua sumber hasil utama iaitu royalti petroleum dan cukai jualan CPO dimana menyumbangkan sekitar 60.23% anggaran hasil negeri tahun 2020 sudah tentu akan mengalami penurunan hasil apabila harga minyak mentah jatuh dibawah paras 30 dolar Amerika Syarikat (AS) setong, iaitu menyamai kejatuhan terbesar sejak Perang Teluk pada 1991. Begitu juga isu corona virus ini juga akan melemahkan permintaan terhadap minyak sawit dunia, memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan dan 100,000 pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negeri Sabah. Sektor pelancongan dan berkaitan paling banyak terjejas ekoran ketiadaan ketibaan pelancong luar negeri mahupun domestik dengan pelancong China dan Korea adalah penyumbang terbesar. Keadaan ini akan menyebabkan ramai pekerja sektor pelancongan kehilangan pendapatan atau pekerjaan kerana syarikat-syarikat terbabit terpaksa memberi cuti tanpa gaji atau mengurangkan bilangan pekerja. Kadar pengangguran semasa 5.8% juga dijangka meningkat disamping akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial seperti jenayah mencuri, merompak dan penipuan.

Kegagalan kesemua ADUN Warisan-UPKO-PH hadir di sidang media pemimpin Sabah setia bersama Datuk Shafie di Hotel Magelan Sutera Harbour pada 15 Mei 2020 menambahkan lagi desas desus kerajaan Sabah akan tumbang sepertimana yang berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Jika kehadiran20 ADUN diambil kira sebagai ukuran tanda sokongan kepada Shafie, ini bermakna kedudukan Shafie sekarang dalam keadaan bahaya, apatah lagi tiada sebarang alasan diberikan ketidakhadiran kesemua ADUN-ADUN tersebut. Di sinilah dilemma Shafie samada terus setia bersama Tun Dr Mahathir atau terpaksa akur dengan perubahan politik yang berlaku dengan mengubah haluan bersama PM8 Tan Sri Muhyidin Yassin.

Kerajaan Shafie Goyang, Siapa Ketua Menteri Baharu Sabah?


Oleh : Sahimin Mustapah

Ketika masyarakat peribumi Sarawak sedang merayakan Hari Gawai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.47 Kuamut YB Datuk Masiung Banah telah membayangkan sesuatu akan berlaku melalui ciapan di facebook beliau yang berkemungkinan besar akan bertukar jenama dalam masa seminggu. Ciapan Masiung mendapat perhatian para netizen di Sabah apakah ianya benar-benar akan berlaku? Walaupun tempoh seminggu telah berlalu dengan tanpa apa-apa kejadian namun bak kata pepatah melayu mengatakan kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Lebih kurang seminggu selepas ciapan Datuk Masiung, tersebar desas desus mengatakan kononnya empat Ahli Parlimen Sabah akan “melompat” menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional. Keributan ini nampaknya benar-benar menggoncang politik Sabah sehingga Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal terpaksa sekali lagi memanggil kesemua ADUN dan Ahli Parlimen PH Plus hadir ke mesyuarat tertutup di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), bagi menyatakan ikrar dan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Shafie Apdal. Mesyuarat tersebut melibatkan semua wakil rakyat Warisan, Upko, DAP dan PKR berlanjutan sehingga 5 jam bermula jam 10.30 pagi. Kesemua wakil rakyat hadir kecuali Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan), Silam Datuk Mohamaddin Haji Ketapi (Warisan), ADUN Elopura Calvin Chong (DAP), ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury (Upko) and ADUN Sugut Datuk James Ratib (Upko), hadir. Parti Warisan memiliki sembilan Ahli Parlimen termasuk Shafie, sementara Upko satu, DAP tiga dan PKR dua daripada 25 Ahli Parlimen Sabah. Manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) , Warisan mempunyai 31, Upko 4, DAP 6 and PKR 2 daripada 60 DUN. Kehadiran semua wakil rakyat pada mesyuarat tersebut menunjukkan kedudukan Shafie masih kukuh bagi mempertahankan kerajaan Warisan.

Dalam sidang media tersebut, Shafie nampaknya tidak dapat mengawal emosi beliau dengan mendakwa terdapat grand plan untuk menjatuhkan kerajaan Warisan dengan tawaran wang dan lain-lain tawaran untuk membeli wakil rakyat beliau. Dengan tegas, pihaknya bersedia menentang sebarang anasir yang dilihat cuba memporak-porandakan negeri itu sehingga mengheret kepada konflik politik.

"Jika mahu memporak-perandakan Sabah, jika kamu mahu lawan, kita akan lawan,".

Sehari sebelum perjumpaan Datuk Shafie dengan semua wakil rakyat Sabah, seteru politik beliau, Tan Sri Musa Haji Aman telah dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi. Datuk Shafie menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman dibebaskan dari pertuduhan rasuah oleh mahkamah pada Selasa. Meskipun keputusan tersebut memihak kepada seteru politiknya, usaha itu (memerangi rasuah) tidak akan terhenti di situ. "Kita tahu apa yang akan dilakukan, pasal kita bukan berhenti di situ sahaja, tidak bererti bila keadaan itu terlepas kita akur, untuk maklumanlah,". Diantara yang akan dilakukan oleh pihaknya ialah perkara membabitkan kes-kes rasuah seperti di Jabatan Air Sabah beberapa tahun lalu melibatkan kehilangan wang jutaan ringgit.

Dalam masa yang sama Shafie mempersoalkan tindakan yang dilakukan terhadap orang kanan beliau YB Datuk Peter Anthony. "Yang contoh macam Datuk Peter (Anthony) kena tangkap, I don't want to dispute, tetapi nampakkah duit itu?, di rumah diakah?, di pejabat diakah?, di kereta diakah?”. Datuk Peter adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah merupakan Naib Presiden Parti Warisan Sabah dan ADUN Melalap. Peter berdepan lima pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan dana RM8.75 juta pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, manakala tiga pertuduhan lain membabitkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Bagaimanapun, Peter dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.

Siapa Ketua Menteri baharu Sabah?
Ketika ditanya tentang ketidakhadiran beberapa orang wakil rakyat dalam mesyuarat tersebut Shafie menjawab “walaupun ada yang tidak dapat hadir di sini hari ini jumlah mereka sedikit dan mereka telah memaklumkan kepada saya untuk tidak risau”. Ternyata ketidakhadiran dua orang wakil rakyat Upko di mesyuarat tersebut memberi petanda yang tidak baik kepada kerajaan Warisan. Semalam dalam satu sidang akhbar, dua wakil rakyat Upko, Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib masing-masing mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. Limus adalah ADUN Kuala Penyu merupakan Naib Presiden Upko manakala James ADUN Sugut merupakan Ahli Majlis Tertinggi Upko. Tindakan dua wakil rakyat Upko ini seperti membenarkan apa yang pernah dibayangi oleh ADUN Kuamut dan kebimbangan kerajaan Warisan sehinggakan terpaksa beberapa kali mengadakan mesyuarat taat setia kepada Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal benar-benar membimbangkan.

Dalam sidang media tersebut ADUN Sugut Datuk James memberitahu "Saya yakin dalam sehari dua ini, lebih ramai akan menyusul keluar dari parti,". Nampaknya hari demi hari kedudukan kerajaan Warisan semakin goyah. Ada sumber memberitahu parti pembangkang Sabah sudah mempunyai ADUN yang mencukupi bagi mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada gabungan PH Plus Sabah. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak menyeberang ke kapal lain. Sehingga kini pembangkang mempunyai 20 ADUN termasuk seorang ADUN dilantik daripada PKR yang telah mengisytihar keluar parti pada bulan februari. PH Plus Sabah memiliki 45 ADUN termasuk 4 ADUN dilantik (Warisan 2, Upko 1, DAP 1). Ini bermakna pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 14 ADUN lagi bagi membolehkan mereka mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Sabah.

ADUN dilantik (6 kerusi)
1. Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko)
2. Terrence Siambun (Warisan)
3. Loreto Padua Sipin Jr. (Warisan)
4. Jaffari Waliam (PKR) – keluar PKR 28/2/2020
5. Loh Ee Eng (DAP)
6. Kosong

Jika kita renung kembali disaat kejatuhan Tan Sri Musa selepas mengangkat sumpah Ketua Menteri, alasan yang diberikan oleh wakil rakyat BN menyokong Datuk Shafie Apdal adalah faktor perubahan kerajaan Pusat oleh Pakatan Harapan (PH). Bagi mereka agak sukar memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat sekiranya menjadi wakil rakyat pembangkang. Alasan yang sama jugalah diberikan oleh kedua wakil rakyat UPKO kelmarin. Bagi mereka apabila kerajaan negeri Sabah mengambil sikap tidak mahu bersama dengan Kerajaan Pusat pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin, adalah sukar untuk membawa pembangunan di kawasan mereka.

Timbul persoalan jika ditakdirkan kerajaan Warisan tumbang siapakah calon Ketua Menteri Sabah yang baharu? Jika kita teliti kepada kedudukan kerusi terkini maka ADUN daripada parti Bersatu berpotensi dicalonkan Ketua Menteri Sabah yang ke-15. Jika fomula parti terbanyak diguna pakai seperti mana yang diamalkan di semenanjung maka Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor paling layak. Bagaimana pula dengan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Haji Aman? Beliau dikatakan Man behind the scene atau arkitek sebenar dibalik tabir drama politik Sabah pasca PRU-14. Ada sumber mengatakan Musa akan kembali menjadi Ketua Menteri untuk tempoh tertentu dan kemudiannya dilantik menjadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin. Musa juga dikatakan lebih favour bekas Ketua Setiausaha Politik beliau ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengisi kerusi Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hanya masa dan takdir Allah sahaja yang menentukan.

***Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di kota kinabalu, sabah

PRU-14, BN Sabah akan tumbang?



Oleh : Sahimin Mustapah

Penantian pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri (kecuali Sarawak) semaki n mendebarkan malahan banyak cakap-cakap mengatakan ianya akan dibubarkan pada penghujung bulan mac atau awal april nanti. Yang pasti bulan april dan mei akan menyaksikan rakyat akan menyambut hari raya demokrasi kali ke-14 dimana rakyat sekali lagi akan keluar ke kotak undi untuk menentukan parti manakah yang akan mendapat mandat menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Di kepulauan Borneo, bahang pilihanraya juga semakin terasa terutamanya di bumi di bawah bayu, lebih-lebih lagi selepas kemunculan bekas Naib Presiden UMNO yang berasal dari daerah Semporna. Datuk Seri Shafie Apdal bersama beberapa orang wakil rakyat yang meninggalkan PKR, DAP dan UMNO seperti YB Dairell Leiking, YB Terence Siambun, YB Junz Wong disamping YB Datuk Jaujan Sambokong mengasaskan Parti Warisan Sabah. 

Kemunculan Parti Warisan ini telah memanaskan suhu politik Sabah malahan sesetangah pihak mengatakan Warisan mungkin mengulangi sejarah kejatuhan parti pemerintah sebelum ini seperti kejayaan Parti BERJAYA (Barisan Rakyat Jelata Sabah) menumbangkan Parti USNO (United Sabah National Organisation) pada tahun 1976 dan PBS (Parti Bersatu Sabah) yang berjaya menumbangkan Parti BERJAYA pada tahun 1985. Kehadiran Warisan dalam kancah politik Sabah ternyata menjadi buah mulut rakyat Sabah malah jumlah kehadiran disetiap program anjuran mereka sentiasa mendapat sambutan hangat.


Persaingan sengit

Apa yang menarik di Sabah kali ini, terdapat sekurang-kurangnya 20 parti politik yang berdaftar samada parti politik berasaskan negeri atau parti politik nasional. Disamping itu beberapa parti politik yang membentuk gabungan atau kerjasama dengan sekurang-kurangnya 3 kumpulan, Barisan Nasional Sabah yang merupakan parti pemerintah sekarang, Gabungan Sabah (United Sabah Alliance) dan Pakatan Harapan (PH Sabah). 

Anggota Barisan Nasional Sabah terdiri daripada United Malay National Organisation (UMNO-YAB Tan Sri Musa Aman), Parti Bersatu Sabah (PBS-YB Datuk YB Dr Maximus Ongkili), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO-YB Datuk Wilfred Tangau), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS-YB Tan Sri Joseph Kurup) Liberal Democratic Party (LDP-YB Datuk Teo Chee Kang), Parti Gerakan (YB Datuk Raymond Tan), MCA dan MIC serta United Sabah Bajau Organisation (USBO-Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia) yang merupakan NGO yang bergabung dalam BN. 

Manakala Gabungan Sabah diwakili oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star-YB Datuk Dr Jeffry Kitingan), Parti Maju Sabah (SAPP-Datuk Yong Teck Lee), Parti Harapan Sabah (Harapan-YB Datuk Lajim Hj Ukin) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS-Arshad Abdul Mualap). PH Sabah pula terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-YB Christina Liew), Parti Tindakan Demokratik (DAP-Stephen Wong) dan Parti Amanah Negara (Haji Hamzah Abdullah). 

Disamping itu Parti Cinta Sabah (YB Datuk Wilfred Bumburing) dan Parti Anak Negeri Sabah (Anak Negeri-Datuk Henrynus Amin) telah membentuk kerjasama politik bagi menyatukan parti-parti politik yang mahu dikenali sebagai MOMOGUN. Manakala Parti Warisan masih gagal membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik sehingga kini. Begitu juga dengan Parti Islam SeMalaysia Sabah (PAS) juga difahamkan masih belum membentuk Gagasan Sejahtera Sabah seperti mana yang telah dilakukan di Semenanjung Malaysia.

Parti lain di Sabah termasuk Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PAKAR), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (BERSAMA), Parti Kebenaran Sabah (KEBENARAN) dan Parti Bersatu Bugis Sabah (PBBS), Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS), Parti Damai Sabah (SPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru) serta Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU)


Apakah Parti Warisan mampu melakukannya?

Sehingga kini parti pembangkang masih berselisih bagaimana untuk mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat terutamanya dalam soal pertandingan 2 penjuru sahaja atau lebih dikenali satu lawan satu. Menurut sumber, Parti Warisan berminat bertanding sekurang-kurangnya 70% daripada 60 kerusi DUN dan selebihnya diagih-agihkan kepada PCS dan PH Sabah. Namun demikian hal ini tidak dipersetujui oleh Presiden PCS, YB Datuk Wilfed Bumburing yang mahukan agihan kerusi yang lebih seimbang dan sesebuah parti tidak boleh bertanding melebihi 50% daripada jumlah kerusi DUN. 

Manakala GS pula dalam kenyataannya baru-baru ini, Datuk Lajim memberitahu bahawa 90% kerusi telahpun selesai diagihkan manakala baki 10% sedang dalam perundingan akhir. Ini bermakna GS sudah tidak berminat bekerjasama dengan Warisan apatah lagi dengan PH. Melihat kepada perkembangan yang berlaku ini maka hampir pasti Sabah akan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN, GS, PH, Warisan, PCS, Anak Negeri, PAS dan parti-parti lain. 


Maka timbul persoalan, masih adakah peluang kepada Parti Warisan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah dan seterusnya menobatkan Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru?






Krisis politik : Mahu ke mana parti Warisan Sabah ?


Oleh : Sahimin Mustapah

Polemik politik negara melibatkan blok kerajaan, Perikatan Nasional (PN), blok UMNO-Zahid Hamidi dan blok pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) serta sekumpulan parti-parti kecil seperti parti Warisan Sabah (Warisan), parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mencetuskan ketidakstabilan politik negara terus memuncak. 

Disebalik desakan pembangkang yang mahukan Dewan Rakyat mengadakan persidangan untuk membincang perkara-perkara berkaitan pandemik covid-19, keadaan telah bertukar kepada gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Tidak ketinggalan ialah Presiden parti Warisan dan kumpulannya, Mohd Shafie Apdal yang nampaknya lantang mengecam tindak tanduk kerajaan PN.

Pendirian Warisan bersama kumpulannya terdiri PSB, Upko dan MUDA ialah menolak tujuh tawaran Muhyiddin untuk meredakan bahang perebutan kuasa di negara kita. Bersama-sama Shafie ialah 12 ahli Parlimen iaitu lapan ahli parlimen Warisan, dua PSB dan masing-masing seorang Upko dan MUDA. 

Dalam kenyataan tersebut, pada tahun lepas mereka telah memberi cadangan untuk menstabilkan politik melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement) namun ianya ditolak Muhyiddin.

Kumpulan Shafie menuduh Muhyiddin sombong malah telah menyalahguna undang-undang untuk kekal berkuasa termasuklah membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Sabah, Melaka, Kedah, Perak dan Johor.

Pada awal Januari tahun ini dalam program ‘Regional Outloook Forum 2021’ anjuran Institut Kaji Selidik Asia Tenggara (ISEAS), Shafie menyatakan sudah tiba masanya Politik Malaysia bergerak melangkaui politik keperibadian melibatkan tokoh-tokoh politik lama seperti Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. 

Tambahnya sebuah gerakan baharu perlu diwujudkan bagi menentang ‘orang lama’ dan elit politik dalam parti-parti politik untuk memberikan ruang kepada sesiapa sahaja bersuara serta mengembangkan potensi masing-masing. 

Beliau menyalahkan pertembungan antara Mahathir dan Anwar sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada februari tahun lepas. Malah terdapat beberapa usaha untuk memulihkan hubungan Mahathir dan Anwar namun ianya menemui kegagalan. 

'Idea Unity'

Dalam menjelaskan idea tersebut Shafie berpandangan sebuah naratif baharu Malaysia diperlukan melibatkan politik, ekonomi dan sosial. Beliau menolak politik-politik agama dan perkauman sambil meletakkan idea ‘unity’ sebagai asas kepada pembaharuan melalui demokrasi dengan sistem pentabdiran berasaskan nilai.

Idea ‘unity’ mula diperkenalkan dalam kempen pilihan raya negeri Sabah dengan slogan  ‘Pada Tuhan kita yakin, berpadu kita mesti’ dan "Kami di sini untuk membangun bangsa, bukan bangsa atau agama tertentu," dengan hashtag #SabahansUnite. 

Warisan telah menukar slogan ‘ubah’ yang digunakan dalam kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) kepada ‘unity’. Ia terjemah melalui papan iklan, gegantung dan poster yang dipasang di seluruh pelusuk negeri Sabah yang berlatarkan warna bendera Sabah dengan menampilkan grafik wajah Shafie menyerupai seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. 

Poster ‘unity’ Shafie disebar dengan meluas di media sosial seperti facebook, youtube, twitter, whatsapp dan sebagainya. Kempen Warisan cuba menampilkan Shafie sebagai pemimpin untuk semua rakyat Sabah bagi melawan kempen pesaingnya yang menuduh Shafie membawa agenda ‘sempornanisasi’ dan mesra pendatang tanpa izin (PTI). 

Dalam menjelaskan kempen ‘Unity’ tersebut, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking memberitahu “Shafie rasa kita tak boleh lihat seseorang itu berdasarkan warna kulit atau kepercayaan tetapi dengan merit yang kita ada. Merit kita adalah rakyat sudah bersatu sebelum ini, kenapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi dan kali ini dengan lebih baik antara pantai timur, pantai barat dan kawasan pedalaman Sabah,". 

Walau bagaimanapun ternyata kempen ‘unity’ gagal menawan hati rakyat Sabah apabila blok Warisan Plus tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Strategi Warisan

Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Kota Kinabalu, Shafie menyatakan partinya akan melebarkan sayapnya ke semenanjung dan bukan sekadar di Sabah semata-mata tetapi mengimpikan Warisan menjadi kuasa dalam membuat keputusan dalam pentadbiran negara. 

Mohd Shafie berucap pada majlis perasmian Persidangan Perhimpunan Agung WARISAN 2019 di Likas.
Tambahnya Warisan hendak melebarkan konsep ‘unity’, sebuah ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung. “Kalau UMNO boleh bertapak di Sabah, kalau Amanah boleh bertapak di Sabah kepada tidak Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung?”. 

Sehingga kini belum ada tanda-tanda Warisan telah membuka cawangannya di Semenanjung namun terdapat beberapa kenyataan pemimpinnya seperti Naib Presiden Dr. Jaujan Sambakong memberitahu Warisan aktif di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. 

Shafie dalam satu kenyataan memberitahu Warisan akan bekerjasama dengan parti MUDA yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Shafie percaya dalam sebuah ketamadunan manusia, perubahan banyak dibawa oleh generasi muda, maka perubahan negara ketika ini hendaklah digerakkan oleh golongan muda. 

Dalam siri kenyataan mutakhir ini MUDA diihat terlibat sama dengan Warisan, Upko dan PSB sebagai petunjuk MUDA akan menjadi rangkaian Warisan di Semenanjung.

Hala tuju Shafie dan Warisan

Dengan beberapa kronologi tersebut, kita boleh mamahami impian, ke mana hala tuju Shafie dan parti Warisan. Dengan idea ‘unity’, Shafie cuba membawa pendekatan politik melangkaui batasan kaum dan agama yang berasaskan merit kepada rakyat Malaysia. 

Realitinya idea ‘unity’ Warisan bukan suatu perkara yang baharu, ianya telah lama diketengahkan sejak zaman Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) namun gagal  mendapat sambutan rakyat ketika itu. Terdapat parti pelbagai kaum selepas itu misalnya Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan lain-lain.

Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan merupakan seorang ahli politik Malaysia dan pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-7. Beliau memegang jawatan ini dari April 1985 hingga Mac 1994
Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa diterajui oleh Joseph Pairin Kitingan pernah melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia dan pernah meletak beberapa orang calon dalam pilihan raya umum. Parti Upko juga pernah membuka cawangan di Semenanjung dengan memberi tumpuan kepada penyertaan orang asal namun ia sudah lama tidak kedengaran. 

Timbul persoalan, mampukah Warisan mendapat tempat di Semenanjung? Sudah tentu kayu ukurnya jumlah kerusi yang dimenangi Warisan dalam pilihan raya sebagai bukti penerimaan rakyat terhadap partinya.

Pasca perletakan jawatan Muhyiddin

Perletakan jawatan Perdana Menteri ke-8 Muhyiddin Yassin telah memberi kesempatan kepada Shafie diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-9. Sepertimana yang ditegaskan oleh Ketua Wira Warisan Mohd. Azis Jamman peluang perlu diberikan kepada ahli Parlimen Sabah (Shafie) untuk menerajui kepimpinan negara. 

YB Dato' Mohd Azis Haji Jamman adalah ahli politik Malaysia dari Ahli Parlimen bagi Sepanggar, Sabah. Beliau adalah bekas penyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau juga merupakan Ketua Wira bagi Parti Warisan Sabah. 
“Ini terutama selepas 60 tahun Malaysia dibentuk, tidak pernah dalam sejarah pemimpin dari Sabah diberi peluang menerajui negara dan pertimbangan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963,”. 

Untuk merealisasikan cita-cita Shafie, beliau memerlukan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen menyokong beliau. Ketika ini blok Shafie memiliki 12 ahli Parlimen, jika dicampur empat Ahli Parlimen Pejuang maka jumlahnya adalah 16 orang.

Shafie memerlukan sekurang-kurangnya 96 orang lagi untuk membolehkan beliau menjadi PM. Maka dari mana datangnya 96 orang itu?  Blok yang menolak Muhyiddin adalah seramai 120 orang terdiri daripada PH (89 orang), diikuti UMNO-Zahid (15), Warisan (8), Pejuang (4), Muda (1), calon bebas (2), PSB (2) dan Upko (1). 

Sehingga kini Shafie mendakwa beliau dan Anwar hanya memiliki 105 ahli Parlimen, kurang enam orang. "Ini berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi, dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan," katanya kepada Astro AWANI.

Masa sangat suntuk buat Shafie kerana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua anggota Dewan Rakyat menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan seorang calon pilihan sahaja untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang hari ini (18 Ogos). 

Di sebelah blok PN-BN mendakwa mereka telah memiliki bilangan yang mencukupi untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM ke-9. Difahamkan Ismail telah memiliki 115 orang ahli Parlimen, manakala Anwar atau Shafie memiliki 105 orang maka peluang Shafie atau Anwar semakin tipis kerana dengan baki dua orang ahli Parlimen ianya masih tidak mencukupi.

Pilihanraya Umum ke 15

Kemudian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 mampukah Warisan mengatasi  BN, PN, PH malah Pejuang? Ini kerana pada bulan april lepas Shafie memberitahu Warisan telah melepaskan ikatan permuafakatan dalam Pakatan Plus kepada Pakatan Minus. 

Ini bermakna Warisan berhak bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui. Sekiranya Warisan kembali berhasrat bekerjasama dengan PH dan Pejuang, berapa kerusi yang bakal ditandingi oleh Warisan di Semenanjung sedangkan PKR, DAP dan Amanah telah pun mempunyai susunan agihan kerusi berdasarkan prestasi dalam PRU-14? 

Jika Warisan, Upko dan PSB mampu menguasai parlimen di Sabah dan Sarawak, kemudian MUDA mampu memenangi sebahagian kerusi di Semenanjung blok Shafie boleh menjadi kuasa tawar-menawar dalam meletakkan parti itu dalam arus politik negara. 

Selepas pilihan raya umum 2008, Sabah dan Sarawak menjadi ‘king maker’ kepada mana-mana kerajaan Persekutuan. Misalnya PRU-12 dan PRU-13 BN Sabah dan BN Sarawak menjadi penyelamat kerajaan UMNO-BN. Begitulah juga dalam PRU-14, Warisan, PKR dan DAP Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang kepada tertubuhnya kerajaan PH. 

Sebaliknya sekiranya Warisan gagal menyerlah sepertimana yang berlaku dalam PRN Sabah 2020, masa depan Warisan akan menjadi samar-samar dan tidak menentu. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

_____________________________________________________
Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di Kota Kinabalu Sabah

Sumber asal |  kicaiping


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Tanpa undi PAS, GRS mungkin gagal tawan Sabah?

oleh: Sahimin Mustapah

Sejak beberapa minggu PAS menjadi menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuklah menjadi sasaran para pengkritik politik di tanah air khususnya berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah yang ke-16 (PRN-16). Suasana semakin hangat apabila rakan sekutunya samada BN atau PN tidak memberi laluan kepada PAS bertanding di sebarang kerusi terutamanya di 45 kerusi DUN majoriti Islam. Sebelum itu PAS melalui Presidennya Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan tentang hasrat PAS bertanding di 10 kerusi DUN manakala Timbalannya pula menyatakan PAS berhasrat bertanding antara 6 atau 10 bergantung kepada hasil perundingan bersama rakan politiknya. Apa yang menarik walaupun PAS tidak bertanding tetapi serangan kepada PAS lebih hebat daripada parti-parti yang bertanding termasuklah menjadi sasaran dalam ceramah politik oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

PAS Sabah yang ditubuhkan secara rasmi pada bulan Mei 1986 di Kota Kinabalu tidak pernah gagal menyertai pilihan raya samada negeri mahupun peringkat parlimen. Penyertaan pertamanya bermula tiga bulan selepas pelancaran PAS Sabah iaitu PRU 1986 yang berlangsung pada bulan ogos dengan menampilkan 3 orang calon di Kota Belud, Kimanis dan Jambongan. PAS kemudiannya menyertai pilihan raya tahun 1990, 1994 (PRN), 1995, 1999(PRN), 2004, 2008, 2013 dan Pilihan raya yang terbaru disertainya ialah PRU-14 pada tahun 2018. Walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi namun parti tersebut pernah mencatat keputusan terbaik pada PRU-13 ketika bersama rakan sekutunya Pakatan Rakyat (PR).

Sudah tentu keputusan tidak bertanding mengecewakan para ahli dan penyokongnya sehingga ada yang menitiskan air mata khususnya di negeri Sabah. Walaupun ianya suatu yang tidak menggembirakan namun PAS bertindak pantas bangkit dengan menghimpukan jentera pilihan raya dari seluruh pelusuk negeri di sebuah Hotel yang terletak di Kota Kinabalu. Berpandukan amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS yang juga merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, seluruh jentera PAS digerakkan bagi membantu rakan-rakan mereka bagi memastikan Parti Warisan dan sekutunya dikalahkan pada pilihan raya kali ini. Berbekalkan dengan semangat “kita kasi jatuh Warisan-PH” ternyata semangat tersebut telah melonjak sokongan para ahli dan penyokongnya kepada GRS.

Keputusan
Seramai 749,083 orang atau 66.61 daripada 75 peratus (sasaran) telah keluar mengundi termasuklah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa.

Menjelang hari pengundian rata-rata penganalisis politik sukar meramalkan parti manakah yang akan memenangi pilihan raya kali ni. Majoriti berpandangan kedudukan adalah seimbang dimana tiada yang dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Sebahagian berpandangan seperti ILHAM Center hasil kajian mereka mendapati Warisan berada di hadapan namun tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk mendapat majoriti mudah. Terdapat 13 kerusi DUN agak sukar diramalkan walaupun pihak penyelidik telah turun ke lapangan. Namun amat menarik dengan kajian oleh sekumpulan penyelidik SEEDS yang terdiri dikalangan pensyarah UNIMAS, UMS dan UiTM yang diketuai Dr Arnorld Puyok berpandangan GRS mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya.

Beberapa tokoh diramalkan menang seperti Anifah Aman (PCS-bekas ahli parlimen) di Bongawan, Musbah Jamli (Bebas-penyandang) di Tempasuk dan Pandikar Amin (USNO-bekas Speaker) di Pintasan ternyata berlaku sebaliknya. Beberapa kerusi yang diramalkan Warisan menang seperti Pantai Manis, Labuk dan Sungai Sibuga disamping Kiulu dan Telupid diramalkan UPKO menang turut gagal dipertahankan mahupun dirampas. Menariknya pertembungan sesama sekutu GRS tidaklah seperti pepatah melayu mengatakan kalah jadi abu, menang jadi arang. Daripada 17 kerusi tersebut 11 berjaya dimenangi GRS manakala bakinya dimenangi oleh Warisan Plus.

Keputusan PRN-16 menyaksikan jumlah undi dan peratusan popular GRS dan Warisan Plus adalah hampir sama banyak. Namun oleh kerana sistem pilihan raya Malaysia yang mengguna pakai kaedah majoriti mudah atau first-past-the-post, kemenangan sesebuah parti atau calon dikira berdasarkan undi terbanyak walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja. Sistem ini juga dikenali sebagai Single-Member District Plurality turut di amalkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom dimana kawasan pilihan raya dibahagi-bahagikan berdasarkan geografi, misalnya di Sabah terdapat 73 kawasan pilihan raya atau lebih dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru itu walaupun jumlah undi Warisan Plus adalah hampir sama undi GRS namun GRS memperolehi lebih 6 kerusi DUN disebabkan perbezaan kepadatan pengundi DUN Bandar dengan luar Bandar. Dalam erti kata lain, GRS lebih berpengaruh di kawasan luar Bandar sebaliknya Warisan di kawasan Bandar. Selain faktor undi Bandar atau luar Bandar, faktor etnik kekal mempengaruhi corak keputusan PRN Sabah. Misalnya kemenangan besar Warisan di Pantai Timur atau pesisir pantai adalah dipengaruhi oleh undi “bangsa kita” iaitu suku bajau-suluk. Oleh kerana Shafie Apdal berketuruan suku bajau-suluk maka Warisan menerima sokongan tidak berbelah dikawasan-kawasan yang mempunyai kadar pengundi yang ramai disamping sokongan padu para pengundi cina. 




Sebenarnya trend pengundian PRN-16 ini bolehlah kita simpulkan rakyat Sabah memilih parti yang mempunyai hubungan baik dengan parti nasional demi kelangsungan mereka dan kemajuan negeri Sabah samada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). Oleh kerana PN adalah kerajaan semasa yang dilihat sebuah kerajaan yang lebih prihatin dengan nasib rakyat Sabah maka ianya telah memberi kelebihan kepada GRS berbanding Warisan Plus. Kejayaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin mengendali convid-19 telah dimanfaat semaksimum mungkin oleh GRS dengan membawa beliau turun berkempen di serata pelosok negeri Sabah. Keadaan sebaliknya berlaku kepada parti lokal seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Liberal Democratic Party (LDP) yang gagal memenangi sebarang kerusi. Parti-parti lokal ini cuba meniru model parti politik di Sarawak yang mahukan kuasa politik sepenuhnya ditangan elit politik negeri, namun nampaknya gagal mendapat sokongan rakyat kerana sikap mereka yang dilihat tidak mesra dengan parti nasional.

Undi PAS selamatkan calon UMNO dan Bersatu


Seperti yang diramalkan kekuatan GRS dan Warisan Plus adalah seimbang. Oleh itu kemenangan seseorang calon bergantung kepada faktor penambah yang mempengaruhi kepada sokongan tersebut. Misalnya di beberapa DUN, jika kita lihat jumlah undi yang diperolehi PAS pada PRU-14 (2018), ianya di sekitar 300 – 1600 undi, amat signifikan membantu kemenangan calon UMNO dan Bersatu walaupun dalam jumlah yang kecil. Pada 2018 PAS bertanding secara solo tanpa sebarang rakan sekutu, secara purata memperolehi undi popular sekitar 7-8%..

Selepas PRU-14 PAS Sabah mengalami peningkatan keahlian baru yang menggalakkan sudah pasti berlakunya pertambahan undi PAS yang akan menyumbang undi kepada UMNO dan Bersatu. Ternyata faktor undi PAS telah menyelamatkan sekurang-kurangnya di 5 DUN daripada jatuh ditangan parti Warisan dan sekiranya 5 DUN ini gagal dimenangi maka impian Hajiji Noor, Bung Mokhtar Radin, Dr Jeffry Kitingan atau Dr Maximus Ongkili kembali mengambil tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah tidak mungkin menjadi kenyataan.

--------------------------------------------------

Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah




Dilema Shafie Apdal Mahathir atau Muhyiddin



Oleh : Sahimin Mustapah

Ketika beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan terkini Kedah mengubah haluan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan arus politik negara, Sabah yang ditadbir Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan sekutunya Parti United Progressive Kinabalu Organisation (Dulu dikenali sebagai i Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu - UPKO) dan Pakatan Harapan Sabah (PH) ( Parti Keadilan Rakyat -PKR dan Democratic Action Party - DAP) mengambil sikap yang berbeza dengan mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Shafie) dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas bersama 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 14 Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah memberitahu demi kepentingan rakyat Sabah kerajaannya akan terus bekerjasama dengan mana-mana Kerajaan Persekutuan yang ada melalui pendekatan G2G (Kerajaan dengan Kerajaan).
Bagi Shafie walaupun Sabah sebuah negeri pembangkang, ia berkemampuan meneruskan semua rancangan pembangunannya, “Kelantan mampu menguruskan negeri itu meskipun sebagai pembangkang selama beberapa dekad, tidak ada sebab kenapa Sabah tidak dapat menguruskan negeri ini”.


Sejarah politik Sabah, ia pernah menjadi negeri pembangkang apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil keputusan mengejut keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) beberapa hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 untuk menyertai pembangkang Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan sekutunya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP. Keputusan PBS telah mendorong Parti United Malay National Organisation (UMNO) mengambil keputusan drastik melebarkan sayapnya ke negeri Sabah dengan kerjasama Parti United Sabah National Organisation (USNO) disamping Jawatankuasa Penaja UMNO Sabah yang dipelopori Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir sejak 1986 serta bekas pemimpin dan ahli parti BERJAYA. Sejak dari peristiwa tersebut sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan PBS, sentiasa bergelora dan menerima tekanan daripada kerajaan Persekutuan dan BN sehinggalah beberapa pemimpin PBS keluar parti dan kemudian menubuh parti baru seperti Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PBS Datuk Yong Teck Lee.

Keputusan PRU-14 2018 menyaksikan WARISAN berjaya memenangi 21 kerusi DUN daripada 45 calon yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun WARISAN masih belum mampu membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP kerana kekurangan 2 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah. BN mendakwa memiliki kelebihan 2 kerusi apabila parti Solidariti Tanah Air (Star) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyebelahi blok BN bagi membolehkan Datuk Musa Hj Aman (Musa) ke Istana mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehi untuk mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah.


Tidak sampai 24 jam selepas Musa mengangkat sumpah, Shafie pula mendakwa memperolehi sokongan majoriti 35 ADUN apabila 6 ADUN BN (2 ADUN UPKO bersama 4 ADUN UMNO) melompat menyokong kumpulan Shafie, kemudiannya turut mengangkat sumpah di Istana Negeri. Keadaan ini menyebabkan Sabah mempunyai 2 Ketua Menteri, mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 1985 dimana Presiden USNO Tun Datu Mustapha Datu Harun telah mengangkat sumpat Ketua Menteri terlebih dahulu dan selang beberapa hari kemudian Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan turut mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Haji Mohd Adnan Robert. Tindakan 6 ADUN BN tersebut adalah berpunca perubahan politik di Putrajaya apabila BN telah tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya di peringkat Persekutuan selepas memerintah negara selama tempoh 63 tahun. Mereka berpandangan adalah sukar memberi khidmat kepada rakyat sekiranya Sabah menjadi negeri pembangkang.

Konflik Shafie vs Musa berlanjutan apabila Musa bertindak menyaman Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang manakala pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Namun demikian Mahkamah Tinggi kemudiannya menolak kes pemula yang difailkan Musa bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dan seterusnya mengiktiraf Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya berkata isu sama ada pelantikan Shafie tidak berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif. Tindakan 6 ADUN BN yang menyokong pakatan WARISAN, DAP dan PKR sudah cukup membuktikan Musa telah hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri Sabah.

Negara sekali lagi dilanda krisis politik apabila runtuhnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu selepas 22 bulan memegang tampuk pemerintahan Persekutuan. Konflik ini sedikit sebanyak memberi tempias terhadap keutuhan kerajaan WARISAN-UPKO-PH. Keputusan Parti BERSATU keluar daripada gabungan PH menyebabkan ADUN yang masih bersama Shafie tinggal 43 orang sahaja. Dari segi angka kerajaan Shafie masih memiliki majoriti 2/3 satu kedudukan yang kukuh untuk beliau menyempurnakan baki mandat kerajaan beliau. Namun demikian apakah kedudukan ini benar-benar kukuh dan stabil? Apabila ditanya wartawan khabar angin  mengenai ada usaha yang cuba membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan negeri sekarang di Sabah, Shafie berkata mereka tidak tahu siapa yang akan mahu (dibeli) tetapi mereka tidak akan memaksa sesiapa untuk kekal jika mereka tidak mahu. “Ketika saya membentuk Kerajaan Negeri, dia tidak membeli sesiapa. Tetapi saya fikir masanya sudah tiba untuk kita mengubah budaya politik di Sabah. Saya fikir kami mesti menunjukkan jalan kepada rakyat Sabah, apakah nilai-nilai yang betul untuk kami sebagai ahli politik dan pemimpin, untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Ketika krisis siapakah PM 8, Sabah dan Sarawak mendapat perhatian kerana peranan “kingmaker” dalam menentukan calon PM 8 yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 ADR dari seluruh negara. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Mahathir) dan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) gagal mendapat sokongan mencukupi, Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian kerana situasi persaingan semakin sengit apabila PH kembali menyokong Mahathir manakala Muafakat Nasional (MN), BN, BERSATU dan kumpulan Azmin Ali pula menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (Muhyiddin) sebagai PM 8. Akhirnya ia menyebelahi Muhyiddin apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokongnya manakala PBS dan Star mengambil sikap menyokong siapa sahaja dipilih PM 8.

Timbul persoalan mampukah kerajaan Shafie bertahan sebagai negeri pembangkang dengan tempoh pemerintahan hanya berbaki 2 hingga 3 tahun lagi. Jika sebelum ini 5 ADR Warisan dilantik 3 menteri penuh dan 2 timbalan menteri namun kali ini wakil Sabah di Persekutuan diwakili 3 menteri penuh dan 4 timbalan menteri daripada BERSATU (3), PBS(1), PBRS(1) dan Star(1) yang sudah tentu akan mengasak dan berusaha menawan Sabah daripada parti gabungan WARISAN. Jika sebelum ini perundingan Akta Malaysia 1963 dirundingi terus bersama PM Mahathir tetapi kali ini kerajaan Shafie terpaksa berurusan dengan kementerian khusus untuk Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Sejarah politik Malaysia, isu hubungan negeri-persekutuan sentiasa menjadi polemik khususnya negeri-negeri pembangkang samada ketika kerajaan BN mahupun PH. Kita boleh lihat dalam isu royalti minyak Kelantan dengan Persekutuan, kerajaan PH berdolak dalih walaupun manifesto PH secara jelas menyatakannya :-


Isu penularan surat larangan hadir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah terhadap kakitangan awam negeri ke majlis amanat Perdana Menteri bertarikh 6 Mac 2020 akan menjadikan polemik hubungan negeri-persekutuan kembali bermasalah. Begitulah juga dengan cadangan Ketua Badan Pimpinan BERSATU SABAH Datuk Seri Hajiji Noor yang mahukan fungsi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dihidupkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah. Katanya, penubuhan JPPS amat penting sebagai instrumen Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri sudah pasti akan merencatkan banyak projek-projek melibat kerajaan Persekutuan. Malah tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menjemput Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang merasmikan pelancaran Kempen Bilik Rehat Sihat JPNS di Sekolah Menengah (SM) St Paul, Beaufort telah mengundang teguran dan peringatan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di Sabah supaya tidak melakukan perkara yang dianggap mensabotaj kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Tanpa kerjasama yang erat negeri-persekutuan agak sukar kerajaan Shafie memenuhi janji-janji manifesto PRU-14. Dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin suram terutamanya isu ancaman corona virus (covic19) sudah tentu kerajaan negeri terpaksa mengkaji semula kedudukan semasa fiskal negeri . Sabah yang bergantung kepada dua sumber hasil utama iaitu royalti petroleum dan cukai jualan CPO dimana menyumbangkan sekitar 60.23% anggaran hasil negeri tahun 2020 sudah tentu akan mengalami penurunan hasil apabila harga minyak mentah jatuh dibawah paras 30 dolar Amerika Syarikat (AS) setong, iaitu menyamai kejatuhan terbesar sejak Perang Teluk pada 1991. Begitu juga isu corona virus ini juga akan melemahkan permintaan terhadap minyak sawit dunia, memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan dan 100,000 pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negeri Sabah. Sektor pelancongan dan berkaitan paling banyak terjejas ekoran ketiadaan ketibaan pelancong luar negeri mahupun domestik dengan pelancong China dan Korea adalah penyumbang terbesar. Keadaan ini akan menyebabkan ramai pekerja sektor pelancongan kehilangan pendapatan atau pekerjaan kerana syarikat-syarikat terbabit terpaksa memberi cuti tanpa gaji atau mengurangkan bilangan pekerja. Kadar pengangguran semasa 5.8% juga dijangka meningkat disamping akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial seperti jenayah mencuri, merompak dan penipuan.

Kegagalan kesemua ADUN Warisan-UPKO-PH hadir di sidang media pemimpin Sabah setia bersama Datuk Shafie di Hotel Magelan Sutera Harbour pada 15 Mei 2020 menambahkan lagi desas desus kerajaan Sabah akan tumbang sepertimana yang berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Jika kehadiran20 ADUN diambil kira sebagai ukuran tanda sokongan kepada Shafie, ini bermakna kedudukan Shafie sekarang dalam keadaan bahaya, apatah lagi tiada sebarang alasan diberikan ketidakhadiran kesemua ADUN-ADUN tersebut. Di sinilah dilemma Shafie samada terus setia bersama Tun Dr Mahathir atau terpaksa akur dengan perubahan politik yang berlaku dengan mengubah haluan bersama PM8 Tan Sri Muhyidin Yassin.

Shafie Apdal : Putera Borneo PM ke-9?


Dalam beberapa minggu terakhir nama Datuk Shafie Apdal menarik perhatian umum apabila bekas Perdana Menteri Malaysia keempat (PM4) dan ketujuh (PM7) Tun Dr Mahathir Mohamad telah menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan (PM9) bagi mewakili pembangkang Pakatan Harapan Plus (PH Plus). PH Plus adalah dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan serpihan PPBM yang diketuai oleh Mahathir sendiri. Namun demikian PKR, DAP dan Amanah tidak bersependapat dengan cadangan Mahathir kerana PKR sejak dari awal lagi bertegas tetap mahukan Presiden partinya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PM9 manakala DAP dan Amanah secara dasarnya berminat dengan idea tersebut. Walau bagaimanapun DAP dan Amanah mengubah sikap mereka untuk bersama-sama dengan rakannya PKR dengan mengambil ketetapan mencadangkan Anwar calon PM9. Pendirian terbaru PH tersebut menyebabkan Mahathir dan kumpulannya mengisytiharkan keluar daripada gabungan PH Plus dengan membentuk kumpulan bebas bersama Warisan.

Apa yang menarik cadangan Mahathir ternyata mendapat sambutan dan sokongan elit politik di Borneo termasuklah pemimpin DAP dan Amanah. Diantara parti Sabah yang menyokong idea Mahathis ialah United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO). UPKO secara konsisten menyokong kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri sejak tampuk pemerintahan negara berubah selepas pilihanraya umum pada 2018.

“Selepas perubahan Perdana Menteri pada Mac lalu, UPKO kekal dengan pendirian untuk terus menyokong Tun Mahathir dan yang terkini, beliau mencadangkan teman seperjuangan saya, Datuk Seri Shafie sebagai calon Perdana Menteri; UPKO sokong cadangan ini,” 
kata Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

Tangau yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah menyifatkan cadangan Mahathir sebagai “impian yang menjadi kenyataan" kerana rakyat Sabah dan Sarawak telah menunggu selama enam dekad untuk rakan politik dari Borneo Malaysia memimpin negara ini yang tidak akan pernah membayangkan bahawa dapat melahirkan Perdana Menteri dari Sabah. DAP Sabah dalam satu kenyatan, 10 pemimpin negeri parti itu menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu supaya mengesahkan cadangan tersebut. Mereka juga menggesa semua ahli Parlimen dari Malaysia Timur supaya berdiri di belakang Shafie untuk mencipta sejarah negara ini dengan melantik perdana menteri dari timur. “Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak 1963 seorang warga Malaysia Timur disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi kerajaan persekutuan. Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu berkongsi perasaan yang sama dengan rakan PH Sabah berkata, pencalonan tersebut cukup penting dan signifikan terhadap rakyat di Sabah sesuai dengan asas pembentukan Malaysia yang meletakkan negeri sebagai salah satu rakan kongsi bersama Sarawak dan Malaya dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pencalonan ini adalah satu bentuk keterbukaan dan kesungguhan politik yang memberi ruang kepimpinan utama negara diterajui oleh pemimpin daripada Sabah khususnya dan Borneo amnya yang selama 57 tahun ini didominasi oleh pemimpin daripada Semenanjung sahaja.

Selain pemimpin Sabah, pemimpin Sarawak turut menyatakan sokongan mereka terhadap Shafie. Diantaranya ialah bekas Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang kini menyertai Parti Sarawak Persatu (PSB) berkata sebagai rakan setaraf di Persekutuan Malaysia, pemimpin Sabah dan Sarawak harus mempunyai hak yang sama seperti di Semenanjung Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri.

Datuk Seri Shafie Apdal merupakan ahli politik berpengalaman dan pemimpin parti yang kuat di Sabah. Beliau memenuhi syarat untuk jawatan itu, dan pemimpin PH harus memberikan sokongan terhadap cadangan itu sebagai cara untuk mengakhiri kebuntuan terhadap calon Perdana Menteri.

Baru berkata, satu-satunya syarat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah orang yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang diPertuan Agong adalah seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti di bawah Artikel 43 (2)(a). Kenyataan Ahli Parlimen Selangau tersebut adalah selari dengan pendirian partinya yang turut menyatakan sokongan rasmi tersebut terhadap Shafie sebagai 
pencalonan pemimpin dari Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri adalah matlamat yang diperjuangkan oleh rakyat Sarawak yang setia

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan menyokong Shafie berkata, pemilihan Shafie adalah peluang terbaik bagi Malaysia Barat untuk membina kembali keharmonian hubungan antara kaum dan agama yang baik pada masa lalu yang masih menjadi ciri khas Sabah dan Sarawak dengan menyifatkan Shafie seorang pemimpin yang benar-benar mempromosikan kebebasan beragama dan keharmonian kaum.

Pelancaran UMNO Sabah 1991 : Perdana Menteri dari Sabah
Semasa Mahathir berucap sempena upacara pelancaran UMNO Sabah dan Perhimpunan Agung USNO di Kota Kinabalu pada 21 Februari 1991, Mahathir pernah membayangkan kemungkinan seorang Perdana Menteri Malaysia datangnya dari negeri Sabah.

Diantara ucapan tersebut “Tun Datu Mustapha kata, mungkinkah orang Sabah boleh jadi Perdana Menteri. Ini mungkin dan orang Sabah boleh jadi Perdana Menteri tetapi mestilah berlagak bukan sebagai anak Sabah. Kalau saya berjuang untuk menjadi Presiden UMNO sebagai orang Kedah, orang lain tak akan sokong.

Undi dari negeri Kedah sedikit sahaja, saya perlu undi dari negeri-negeri lain. Dengan itu saya tidak boleh pun berkata bahawa saya anak Kedah. Saya anak Malaysia.”

Tambah Mahathir lagi
Kalaulah adat sekarang ini masih dikekalkan dan UMNO masih kukuh dan kuat, insyaAllah presiden UMNO dari Sabah ini akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi kalau kita bertanding untuk jawatan Majlid Tertinggi (MT) UMNO dengan asas hanya kita anak Sabah maka kita akan dapat undi dari Sabah sahaja. Kita mesti bersikap bahawa kita adalah Bumiputera Melayu yang menjadi ahli UMNO. Ini amat penting sekali
Sejak UMNO datang ke Sabah 29 tahun dahulu, terdapat beberapa tokoh UMNO Sabah yang pernah menduduki hierarki kanan dalam UMNO seperti Shafie, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Shafie berjaya menduduki takhta Naib Presiden UMNO beberapa penggal (2009-2016), Salleh Keruak, Bendahari UMNO (2016-2018) dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Puteri UMNO (2009-2013). Disamping itu terdapat juga berapa tokoh Sabah lain seperti Datuk Azizah Mohd Dun, Naib Ketua Wanita UMNO (2013-2019) dan Jamawi Jaafar, Ketua Penerangan Pemuda UMNO (2013-2018) dan sebagainya.

Dari segi politik, Shafie lahir dikalangan keluarga elit politik Semporna. Moyang beliau Panglima Uddang adalah salah seorang daripada tiga pengasas daerah Semporna yang memberi nama “Tong Talun”, nama asal Semporna.

Bapa saudara beliau Tun Sakaran Dandai adalah tokoh veteran politik Sabah yang tidak asing lagi, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Semporna yang pertama sejak pilihan raya negeri 1967.

Sakaran adalah Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang kelapan. Shafie adalah lulusan ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Staffordshire, England pernah menjadi ahli ekonomi di Kementerian Kewangan Sabah pada tahun 1982.

Beliau kemudian berpindah ke Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah sebagai Pegawai Pentadbir Kanan pada 1984, tahun 1987, sebagai Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah.

Melihat kepada potensi Shafie, Pak cik beliau Tun Sakaran telah melantiknya sebagai Setiausaha politik semasa Sakaran memegang Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi antara tahun 1991 hingga 1993. Bermula daripada saat ini, kerjaya DSSA di peringkat persekutuan telah bermula.

Beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1990, kemudian menyertai UMNO apabila bertapak di negeri itu dan terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO bagi penggal 1993/1996 setelah mendapat tempat ke-12 dengan jumlah 198 undi. Pada tahun 1995 Shafie telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Semporna dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah. Perjalanan politik Shafie terus bersinar apabila memenangu AMT UMNO antara tahun 2000 hingga 2003 dan seterusnya Naib Presiden UMNO pada tahun 2009.

Sebelum mendapat kepercayaan penuh memegang jawatan menteri penuh, Shafie dilantik Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan (1995 - 1999), Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (1999), Timbalan Menteri Pertahanan (1999-2004). Karier politik semakin melonjak naik apabila mendapat kepercayaan bagi mewakili rakyat Sabah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2004-2008), Menteri Perpaduan Nasional, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (2008-2009) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2009 -2015). Bakat kepimpinan Shafie telah meletak beliau pada kedudukan dalam kelompok elit politik yang berpengaruh di peringkat nasional mahupun negeri.

Walau bagaimanapun jodoh Shafie dengan UMNO berakhir apabila beliau digantung keahlian UMNO pada 24 June 2016 bersama-sama Tan Sri Muhyidin Yassin dan Mukhriz Mahathir atas kesalahan disiplin, akibat kelantangan beliau mengkritik pimpinan UMNO kerana membangkitkan isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kemudiannya keluar UMNO pada 4 Julai 2016.

Selepas itu Shafie cuba menghidupkan Parti Pembangunan Warisan Sabah yang telah di tubuh pada 2013 bagi menghadapi parti yang pernah disertainya, UMNO. Menyedari akan gelombang sokongan yang diperolehinya, beliau telah menjenamakan semula parti yang diambil alih oleh beliau kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 17 Oktober 2016. Melalui penubuhan Warisan,Shafie berjaya menggerakkan gelombang perubahan rakyat dengan slogan “Sabah UbaH” bersama rakan-rakan daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) maka pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Warisan berjaya membentuk kerajaan dengan bantuan beberapa ADUN BN yang menang daripada UPKO dan UMNO melompat menyokong kepimpinan beliau. Dengan tsunami politik yang berlaku pada Mei 2018, Shafie akhirnya berjaya menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-15.

Cadangan Mahathir ternyata telah memberi semangat baru kepada rakyat Borneo di Sabah, Sarawak dan Labuan akan peluang dikalangan mereka menjawat jawatan nombor satu negara.

Mahathir dan Shafie mempunyai beberapa persamaan, diantaranya langkah politik mereka berdua sentiasa berhasil dan mencapai kejayaan. Misalnya Shafie berjaya mengatasi saingan politik terdekat beliau seperti Musa Aman dan Salleh Keruak sepertimana Mahathir berjaya mengatasi saingan politik beliau seperti Musa Hitam, Ghaffar Baba, Tengku Razaliegh Hamzah dan Anwar Ibrahim.

Masih terlalu awal untuk menilai sejauh manakah pencalonan Shafie PM-9 berhasil atau tidak, namun cetusan Mahathir sepertimana yang pernah beliau ungkapkan semasa pelancaran UMNO Sabah 29 tahun dahulu, ternyata telah membuka mata ramai pihak adalah tidak mustahil suatu hari nanti rakyat Borneo juga mungkin menjadi Perdan Menteri Malaysia yang selama ini didominasi oleh pemimpin dari Semenanjung Malaysia.

--------------------------------------------------
Sahimin Mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah
© all rights reserved
made with by templateszoo