Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

Showing posts with label NASI DAUN PISANG. Show all posts
Showing posts with label NASI DAUN PISANG. Show all posts

Wednesday, 21 November 2012

NASI DAUN PISANG


NASI DAUN PISANG.... Hish!!! Mengidam lama dah nak makan Nasi Daun Pisang ni... Tapi tak ada keyakinan nak masak sendiri... Yelah... masakan India ni bukan calang-calang nak memasaknya.. Segala lauk menggunakan rempah ratus yang tersendiri... Maka, ku pendamkan sahaja keinginanku.. Hinggalah beberapa hari sudah, ada sahabat yang post gambar nasi daun pisang di wall facebooknya... Hai! Tak boleh jadi ni...

Maka saya carilah resepi Nasi Daun Pisang ni di Google, di buku-buku dan majalah-majalah resepi yang ada di dalam simpanan saya. Ada sesetengah bahan tu memang tak saya kenal. Jadi saya olah, mana-mana yang saya rasa tak membezakan sangat rasa masakan tu, saya skip aje..

Sambil tu, saya ingat-ingatkan semula Nasi Daun Pisang yang pernah saya makan dahulu.. Setelah membuat timbal balik, maka saya putuskan nasi daun pisang saya dilengkapkan dengan lauk-lauk seperti Kari Ikan Bawal, Dalca Sayur, Ikan Tengiri Goreng Berempah, Kobis Goreng Indian Style, Peria Goreng Rangup, Chutney Kelapa, Rasam dan sudah semestinya Papadom.

Resepi semua lauk-pauk ni, kawan-kawan boleh tengok pada Label NASI DAUN PISANG ye..

JOM!! Kita nikmati Nasi Daun Pisang..
Ermmmmm... terasa puas bila dapat menikmatinya dan ianya hasil air tangan sendiri...



RASAM

RASAM
Bahan-Bahannya:
2 mangkuk air
2 biji tomato - dicincang
5 biji cili siam hijau - dicincang
1 biji bawang besar - dicincang
1/2 cm halia - dihiris halus
1 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu makan serbuk jintan putih
Daun ketumbar - cincang halus
1 cawan air rebusan kacang dal
2 sudu makan asam jawa - dicampur dengan semangkuk air
3 biji cili kering - potong 1 cm
2 sudu makan biji sawi
1 sudu teh halba
2 tangkai daun kari

Bahan tumbuk lumat:
1 sudu makan lada hitam
1 sudu makan jintan putih
2 ulas bawang putih

Cara Masak:

  1. Masukkan air ke dalam periuk. Masukkan juga buah tomato, cili siam hijau, bawang besar, halia, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih, garam, gula dan air rebusan kacang dal.
  2. Naikkan atas api dan didihkan.
  3. Masukkan air asam jawa. Renehkan selama 30 minit.
  4. Dalam kuali, panaskan sedikit minyak masak. Tumis cili kering, biji sawi, halba, daun kari dan bahan tumbuk hingga wangi.
  5. Masukkan ke dalam periuk berisi rasam. Gaul rata dan renehkan lagi selama 15 minit. 
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


CHUTNEY KELAPA

CHUTNEY KELAPA
Bahan Untuk Dikisar Halus:
200g kelapa parut - ambil yang putih sahaja
2 sudu makan biji gajus
1 sudu makan jintan putih
1/2 inci halia- dicincang
Daun ketumbar - dicincang
5 biji cili siam hijau
1 sudu teh garam
2 keping asam gelugor - dicincang
Sedikit air

Bahan Tumis:
1 sudu makan biji sawi
1 sudu makan jintan putih
3 biji cili kering - dipotong 1 cm
1 tangkai daun kari


Cara-caranya:

  1. Blend semua bahan kisar hingga halus. Masukkan ke dalam mangkuk.
  2. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan tumis, kacau hingga wangi.
  3. Masukkan ke dalam mangkuk berisi bahan kisar tadi. Gaul rata.
  4. Siap.

PERIA GORENG RANGUP

PERIA GORENG RANGUP
Bahan-Bahannya:
1/2 batang peria
2 sudu makan tepung beras
1 sudu makan tepung jagung
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu besar rempah kari daging
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu makan air




Cara-caranya:

  1. Peria dibelah 2 dan dibuang biji dan putihnya dengan tangan. Potong bulat nipis dan sekata. Rendam peria dengan air + 1/2 sudu makan garam + 2 sudu makan gula selama 1/2 jam. Sejatkan airnya. Bila airnya sudah sejat, letak peria di atas tisu dapur untuk mengeringkannya.
  2. Masukkan semua bahan kecuali air ke dalam mangkuk. Gaul rata peria dan bahan-bahan tadi.
  3. Masukkan 1 sudu makan air dan gaul rata.
  4. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dan masukkan peria satu demi satu. (JANGAN masukkan terlalu banyak peria, nanti tidak garing dan bergumpal). Masak hingga garing tepungnya.
  5. Sedia untuk dihidangkan.


KOBIS GORENG INDIAN STYLE

KOBIS GORENG INDIAN STYLE
Bahan-Bahannya:
1/4 biji kobis - dihiris kecil
1 sudu teh biji sawi
2 sudu teh serbuk kunyit
2 biji cili kering - potong 1 cm
2 tangkai daun kari
2 biji bawang merah - dihiris nipis
2 biji cili hijau - dihiris nipis
Garam
Cara-caranya:

  1. Panaskan 2 sudu makan minyak. Tumis bawang merah, cili hijau dan cili kering.
  2. Masukkan biji sawi dan daun kari. Kacau rata.
  3. Masukkan kobis, serbuk kunyit dan garam. Masukkan juga sedikit aje air untuk melayukan kobis. Kacau rata hingga kobis layu.
  4. Tutup api. Sedia untuk dihidangkan.



IKAN GORENG BEREMPAH

IKAN GORENG BEREMPAH
Bahan-bahannaya:
3 - 4 keping isi ikan tengiri - setiap sekeping dipotong 2 (kalau sekeping tu besar sangat nak makan sorang)
5 ulas bawang merah - ditumbuk
1 tangkai daun kari
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
3 kuntuk bunga cengkih
Garam
Minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:

  1. Bersihkan ikan dan gaul dengan semua bahan kecuali minyak masak. Perap 15 minit
  2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali dan goreng ikan hingga garing.
  3. Siap untuk dihidangkan.


DALCA SAYUR

DALCA SAYUR
Bahan-Bahannya:
3 genggan kacang dal - dicuci dan direbus hingga empuk dan agak hancur
2 biji kentang - dipotong dadu besar
1 biji karot merah - dipotong 1 1/2 inci panjang dan dibelah mancis
1 biji bawang bulat - dipotong baji
3 biji buah murunggai - dipotong 2 inci panjang
2 biji tomato - dibelah 4
1 mangkuk santan
2 keping asam gelugor
4 sudu makan rempah kari daging
2 tangkai daun kari
2 biji cili hijau - potong 1 inci

Bahan tumbuk lumat:
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar - saiz sederhana
1/2 inci halia

Cara Memasak:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan rempah kari, daun kari dan cili hijau. Tumis hingga terbit minyak.
  3. Masukkan kacang dal rebus tadi, santan, asam gelugor. Kacau rata. Jika pekat sangat, bolehlah dimasukkan sedikit air lagi. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan semua sayuran kecuali tomato. Masak hingga kentang empuk.
  5. Masukkan garam dan serbuk perasa serta buah tomato. Kacau rata dan bolehlah ditutup apinya.


KARI IKAN BAWAL



KARI IKAN BAWAL
Bahan-Bahannya:
2 ekor ikan bawal saiz sederhana - dipotong 2 atau 3 bahagian
4 sudu makan rempah kari ikan - dicampur dengan sedikit air supaya menjadi pes yang pekat
2 sudu teh herba campur
2 tangkai daun kari
2 biji cili hijau - dipotong 1 inci
1 ibu jari asam jawa - dicampur dengan 1 mangkuk air
1 mangkuk santan
10 biji kacang bendi

Bahan Dihiris Nipis:
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar - saiz sederhana
1 inci halia

Cara Memasak:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. (Saya suka masak kari ikan guna kuali supaya mudah dikacau dan ikan tidak hancur).
  2. Tumis bahan hiris hingga wangi. 
  3. Masukkan rempah kari ikan, daun kari dan cili hijau. Tumis hingga kari pecah minyak. Pastikan sentiasa dikacau supaya kari tidak berkerak.
  4. Masukkan air asam jawa dan santan. Kacau rata hingga kuah mendidih.
  5. Masukkan garam dan sedikit perasa. Masukkan ikan dan bendi. Kacau rata dan tutup kuali sebentar (lebih kurang 10 minit).
  6. Rasa garamnya. Bolehlah ditutup apinya.