Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

Friday, June 22, 2018

Salam Aidilfitri 2018

Assalamualaikum & salam aidilfitri.....





Sempena Syawal yang masih berbaki MaDiHaA dengan rendah hati ingin memohon ampun & maaf kepada semua pembaca blog Dari Dapur MaDiHaA seandainya selama berblog pernah menggunakan bahasa yang kurang enak dibaca, tersilap menulis mahupun termengata tanpa disengajakan atau pun disengajakan.  Semoga kalian semua sudi memaafkan ye.  Salam aidilfitri maaf zahir dan batin dari MaDiHaA sekeluarga buat semua pengunjung blog yang masih setia singgah di blog MaDiHaA yang dah suam2 kuku ni. 

Maaf juga dipinta kerana tak mampu nak aktif berblog seperti dulu2. InsyaAllah bila diberi kesempatan blog ini akan di update dari masa ke semasa.  Salam sayang buat kalian semua...

Wednesday, May 30, 2018

Kerabu Pucuk Paku

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Dah hampir separuh bulan Ramadan baru sempat jenguk blog. Tak tau apa yang disibukkan.  Selamat menjalani ibadah puasa buat semua.  Jom MaDiHaA kongsi resepi kerabu pucuk paku. Sesuai untuk berbuka puasa. Tapi MaDiHaA buat baru ni untuk bersahur. hehe.... lain dari orang lain kan? Macam biasa kami sekeluarga berbuka puasa tanpa nasi putih setiap tahun. Jadi jika masak lauk pauk memang untuk bersahur je. Ikut je apa yang suami suka. Anak2 pun dah terbiasa macam tu. Tak kisah berbuka takde nasi. Tapi kalau rasa nak masak nasi biasanya MaDiHaA masak nasi berperisa untuk berbuka seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi dagang, nasi lemak & sebagainya. Setakat ni hanya sempat masak nasi lemak & nasi dagang je. Tapi nasi goreng memang biasa menjadi menu berbuka kami. Kalau nak masak nasi berperisa mesti hari cuti. Kalau hari kerja memang tak sempat nak buat sebab kesuntukan masa. Ok dah jom tengok resepi... Kerabu ni MaDiHaA siapkan bahan2 waktu malam, bangun pagi2 barulah digaul & diperisakan.





Kerabu Pucuk Paku
Resepi MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 ikat pucuk paku ~ disiang dapat dalam 1 mangkuk besar
2 senduk kelapa ~ disangrai sekejap
1 sudu besar penuh kerisik
1 kuntum bunga kantan ~ dihiris
2 batang serai ~ dihiris nipis
2 ulas bawang merah ~ dihiris
1 biji limau nipis ~ ambil jus

garam dan gula secukup rasa

Bahan Sambal
1 biji cili merah
5-6 biji cili padi
sejemput ikan bilis/udang kering
secubit belacan
2 - 3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit minyak masak

Cara menyediakan
1. Pucuk paku dicuci bersih & tos. Masak air lalu celur pucuk paku hingga lembut & toskan.
2. Bahan sambal ditumis dalam minyak yang sedikit hingga layu. Kemudian diblender halus guna blender kering. Satukan bahan sambal dalam kelapa sangrai dan masukkan kerisik. Gaul hingga rata.
3. Masukkan kelapa bercampur sambal ke dalam bekas pucuk paku, tambah bunga kantan, serai, bawang hiris serta jus limau nipis. Tambah garam secukup rasa & sedikit gula.
4. Gaul mesra & bolehlah dihidang untuk berbuka puasa.

Selamat mencuba!

Friday, April 27, 2018

Ghetuk Pisang

Assalamualaikum & salam Jumaat...


Lama sungguh tak bersiaran.  Hajat di hati nak update banyak2. Tapi apa boleh buat. Sibuk sangat sekarang ni. Tak sempat nak edit2 gambar & tak sempat nak menaip banyak2. Hari ni agak free sikit jadi MaDiHaA kongsi resepi orang lama ni. Tak tau kenapa MaDiHaA ni memang suka dengan makanan orang2 tua. Maklumlakan faktor umur pun ye juga. Tapi kalau nak ikutkan dari dulu pun memang rajin cuba resepi2 lama kan. Kalau yang dah lama ikut blog MaDiHaA ni mesti perasan banyak juga kuih2 tradisional yang MaDiHaA pernah buat.  Maksudnya memang sejak azali kut memang jenis suka kuih2 orang tua. Mungkin sebab pernah bermanja dengan arwah nenek. Nenek rajin buat kuih2 lama. Cucu dia pun jenis pemakan.. apa nenek buat semua makan. Jadi terbawa2 sampai sekarang... tolak batu dengan kayu je... Bukan macam budak2 sekarang. Mana nak layan kuih2 macam ni. Mujurlah suami pun suka kuih2 lama macam ni. Ada juga geng ibu!



Kalau ada banyak stok pisang bolehlah cuba.  MaDiHaA guna pisang berangan. Kebetulan kawan pejabat bagi pisang berangan yang belum masak ni teruslah teringat kat ghetuk pisang. Sebab agak susah nak jumpa pisang yang masih warna hijau. Selalunya yang dijual pisang yang dah masak. Lainlah kalau ada kebun sendiri kan. Okla merapu2 dah menaip.. moh ke dapur!

Ini pisang berangan yang MaDiHaA gunakan


Ghetuk Pisang
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
10 biji pisang berangan tua berkulit hijau (belum masak)
1 biji kelapa parut putih (dari kelapa yg agak muda sedang2 elok untuk buat inti bersaiz sedang)
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa

Cara Menyediakan
1. Pisang dipotong dari sisirnya & cuci bersih kemudian direbus hingga lembut. Angkat dan toskan.
2. Semasa pisang masih suam2, buang kulitnya & lenyek pisang hingga hancur.
3. Campurkan kelapa parut ke dalam pisang lenyek tadi. Masukkan sedikit garam & gula ikut sesuai selera anda. Jika suka manis boleh letak lebih. Boleh rasa untuk suaikan rasa. Gaul sebati adunan pisang tadi dan bolehlah dibulat2kan atau ditekan2 padat dalam loyang & potong2. MaDiHaA bulat2kan gunakan penceduk aiskrim je.
4. Siap untuk dihidangkan sebagai minum petang atau sarapan pagi.



Selamat mencuba!

Friday, April 13, 2018

Daging Rebus Air Asam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ini kejadian lauk tanpa dirancang. Baru2 ni peti ais MaDiHaA rosak & dah tak boleh dibaiki lagi sebab ini dah kali ke dua rosak. Dah tanya kedai katanya kalau nak baiki kena tukar compressor terus.  Untuk peti ais jenama Hitachi kos mau dekat rm800. Katanya alat ganti jenama Hitachi mahal dari jenama lain.. huhu.. Jadinya kami rasa malas la nak repair sebab takut ianya hanya bertahan untuk beberapa bulan, jadi kami buat keputusan beli yang baru je memandangkan peti ais tu pun rasanya dah guna lebih dari 8 tahun.

Oleh kerana peti ais rosak maka semua lauk2 basah dalam peti ais kenalah diselamatnya daripada rosak. Langkah mudah dengan cara merebus. Mujurlah yang tinggal stok lauk basah hanya daging & ayam sahaja. Dua2 pun MaDiHaA rebus. Maklumlah nak dimasak sekaligus nanti siapa pula yang nak habiskan. Tambah pula waktu peti ais rosak tu pada hari bekerja memang tak cukup masa nak buat macam2. Rebus je mana yang nak diselamatkan & selebihnya di masak untuk makan malam seperti biasa. Hari kerja setiap hari pun kesuntukan masa bagi ibu2 bekerja. Sampai rumah pun dah maghrib, terus je dengan rutin  harian & kewajipan seorang Islam, ibu & isteri. 

Jika ada yang nak ubah2 selera tu bolehlah cuba resepi ni. Rasanya untuk berbuka puasa pun sesuai sangat menu ni. Pecah selera dibuatnya.



Daging Rebus Air Asam
Resepi : MaDiHaA

Bahan utama
600 gm daging lembu

Bahan air asam
1 biji cili merah
1 biji tomato
4-5 biji cili api
2 ulas bawang merah
1 sudu besar asam jawa (larutkan dengan 1 cawan air masak jadikan jus)
2 sudu besar perahan jus limau nipis

sedikit belacan
gula secukup rasa

garam secukup rasa
Bahan yang dihiris/dadu

1 biji tomato
1 biji bawang besar
4 biji cili padi


Cara Menyediakan
1. Daging di potong 3 keping memanjang ikut ira. Rebus sehingga empuk. Bila dah empuk bolehlah dipotong nipis2 melawan ira. Ketepikan dulu.
2. Sementara tunggu daging empuk sediakan air asamnya dulu. Masukkan dalam blender cili merah, tomato, cili padi, bawang merah, air asam jawa & belacan. Kisar sehingga lumat.
3. Tuang bahan kisar dalam periuk & masak sehingga mendidih. Tambah perahan limau nipis, garam & gula secukup rasa. Jika taknak masak pun boleh, tapi pastikan bancuh air asam jawa gunakan air masak/mineral ye.
4. Bila dah secukup rasa campurkan hirisan daging ke dalam air asam. Tambah bahan hiris/dadu & kacau sebati. Siap untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Monday, April 2, 2018

Muffin Pisang Gebu

Assalamualaikum & salam sejahtera..


Bersua lagi kita.  Mood update baru nak elok. Moh le kayuh pelan2. Sebenarnya bukan takde mood nak update. Tapi masa yang tak mengizinkan.  Setiap kali masak tak lupa snap gambar. Tapi updatenya tak tau bila. hehe.. Gitulah juga dengan nasib gambar2 aktiviti family yang dah makan tahun tak habis2 lagi berupdate. Sabor jelah.  Kalau makanan dah lama basi, berkulat. Mujurlah gambar walaupun dah bertahun tetap elok je lagi. Cuma kalau nasib tak baik PC rosak ataupun pendrive jahanam memang menangislah tuan dia jawapnya... 

Balik ke pangkal jalan.  Ini lagi satu resepi yang dah berulang-kali MaDiHaA dok buat. Tapi takpela kita kongsi le jugak. Resepi elok & menjadi takpe kongsi banyak kali pun. Ilmu tak rugi dikongsi mana tahu ada yang sedang mencari2 resepi muffin pisang. Bolehlah cuba resepi olahan MaDiHaA ni.  Resepi asal dari All recipes. Tapi MaDiHaA dah alter sana sini ikut sesuai selera sendiri. Resepi mat saleh ni biasanya manis2 belaka. Ikut selera kitalah nak ikut resepi bulat2 atau pandai2 kurangkan sukatan ikut selera kita.



Muffin Pisang Gebu

Resepi asal : All recipes
Diolah oleh : MaDiHaA aka Ratna
(resepi asal dpt 10 biji muffin saiz sederhana) 

Bahan2 
1 1/2 cawan tepong gandum
1 teaspoon baking soda (soda bikarbonat)
1 teaspoon baking powder 
1/4 teaspoon garam 
3 biji pisang (MaDiHaA guna 270 gm)~ dilecek
3/4 cawan gula kastor (MaDiHaA guna 2/3 cawan gula perang sebab pisang yg digunakan dah masak ranum & sangat manis!) 
1 biji telur ~ dipukul ringan 
1/3 cawan mentega cair (MaDiHaA guna minyak sayuran) 
  
Cara menyediakan
1. Panaskan oven 190 C (MaDiHaA guna 180C). Aturkan muffin pan dengan kertas muffin atau paper liner.
2. Dalam mangkuk atau bekas yang besar, ayak tepong gandum bersama baking soda & baking powder. Masukkan garam & gula & gaul sebati.
3. Dalam mangkuk lain, satukan pisang lecek, telur & mentega cair. Tuangkan bahan cecair ke dalam bahan kering (tepong) dan gaul sebati menggunakan whisker atau senduk kayu. Jangan terlebih kacau asal bergaul rata sudah cukup.
4. Sudukan adunan ke dalam kertas muffin hingga paras 3/4 ketinggian kertas muffin.  Atau jika mau muffin naik membumbung seperti muffin MaDiHaA tu.. sudukan lebih sedikit adunan sehingga hampir penuh. (tinggalkan ruang lebih kurang 0.5 cm).
5. Bakar muffin antara 18 ~ 20 minit bergantung saiz muffin, suhu & jenis oven yang digunakan.  Boleh uji muffin dengan lidi penguji untuk test samada muffin dan masak atau belum.

Happy baking!

Sunday, April 1, 2018

Tempura Sayuran

Assalamualaikum & salam sejahtera



Stok brokoli & bunga kobis agak banyak kat rumah. Seronok beli brokoli sebab harganya agak murah sekarang ni. MaDiHaA selalu beli kat pasaraya Checkers atau Giant je sebab itu yang dekat dengan pejabat.  Pasaraya lain tak pastilah pulak murah ke tidak. Definisi murah tu bagi MaDiHaA kalau harga brokoli seketul bawah RM2.80 tu kira murah la tu. Kalau harga seketul atas dari RM3 memang MaDiHaA tak beli... Ehh! Pernah MaDiHaA jumpa kat pasaraya TF kat Raub dorang jual brokoli seketul RM1 tau! Punyalah murah kan. Macam tak percaya pun ada. Mungkin terlampau banyak lambakan brokoli kat Cameron Highland agaknya. Lagipun Raub dengan CH kan jaraknya tak jauh sangat.. tu boleh jual murah. Masa kat Raub tu MaDiHaA borong brokoli berketul2 macam dah taknak makan sayur lain je... kikikikiii.... 

Okey balik pada kisah brokoli ni tadi disebabkan banyak sangat stok sayur 2 jenis ni macam dah jemu pulak dibuat sup atau kacau goreng.  So moh le kita buat tempura pulak. Tak sangka pula anak2 suka. Sepinggan habis diratah macam tu je sebelum makan dengan nasi. Mujur MaDiHaA buat lebih. Ok dah jom kita tengok resepi!



Tempura Sayuran

Bahan2
Sayuran yang disukai
MaDiHaA hanya guna bunga kubis & brokoli.
Minyak masak secukupnya

Bahan-bahan Batter
1 cawan tepong gandum
2 sudu besar tepong jagung
garam secukup rasa
2 sudu kecil serbuk lada sulah
3/4 cawan air sejuk dari peti sejuk
1 biji telur
ketulan ais

Cara menyediakan
1. Sayuran dibersihkan & dipotong ikut selera. Campurkan tepong gandum, tepong jagung, garam & serbuk lada sulah.
2. Masukkan air sejuk & kacau rata menggunakan whisker. Masukkan telur & kacau rata.
3. Akhir sekali masukkan ketulan ais dan tunggu sebentar dlm 2 minit. Panaskan minyak & apabila minyak sudah panas, kacau adunan batter sebelum menggoreng. Celup sayuran ke dalam batter & goreng seperti menggoreng pisang. Balikkan supaya garing rata.
4. Angkat & toskan sebelum dihidangkan. Sedap dinikmati waktu panas2 atau suam2.

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...