Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Interkalasi (waktu)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Interkalasi merupakan penyisipan hari, minggu atau bulan 'lompat' ke dalam tahun takwim supaya takwim menurut musim atau fasa bulan. Kalendar qamari-suria mungkin memerlukan hari dan bulan lompat.

Kalendar suria

[sunting | sunting sumber]

Tahun tropika atau suria tidak bundar bilangan harinya (iaitu kira-kira 365.24 hari), tetapi tahun takwim mestilah bundar bilangan hari. Cara yang paling am untuk menyelaraskan kedua-dua tahun ini adalah mengubah bilangan hari dalam tahun takwim.

Bagi kalendar suria, ini dilakukan dengan menokok tambah tahun am yang 365 hari dengan satu hari tambahan ("hari lompat") setiap empat tahun, maka jadilah tahun lompat dengan 366 hari (takwim-takwim Julius, Gregory mahupun Kebangsaan India).

Dekri Canopus yang dititahkan oleh Firaun Ptolemy III, Euergetes Mesir Purba pada 239 SM mengehendaki sistem hari lompat untuk takwim suria; tahun lompat Mesir hanya diterima guna pada 25 SM apabila Maharaja Rom Augustus berjaya memperkenalkan takwim Iskandariah.

Dalam takwim Julius dan juga penggantinya iaitu takwim Gregory, interkalasi dilakukan dengan menambahkan satu hari kepada Februari dalam setiap tahun lompat. Bagi takwim Julius, ini dilakukan setiap empat tahun. Demikian juga untuk takwim Gregory, cuma terkecualinya tahun-tahun yang boleh bahagi 100 tetapi bukan 400, untuk meningkatkan kejituan. Oleh itu 2000 adalah tahun lompat, tetapi tidak pula 1700, 1800, dan 1900.

Hari epagomen[1] merupakan hari yang tidak tergolong dalam mana-mana bulan biasa dalam takwim suria. Biasanya lima hari epagomen ditambahkan ke dalam setiap tahun (dalam takwim-takwim Mesir, Koptik, Habsyah, Haab Maya dan Republik Perancis), tetapi juga terdapat satu hari epagomen keenam yang diinterkalasikan empat tahun sekali dalam sesetengah takwim tersebut (Koptik, Habsyah dan Republik Perancis). Takwim Bahá'í merangkumi empat hari epagomen dengan hari interkalasi kelima untuk memadani corak interkalasi dalam takwim Gregory.

Takwim qamari-suria

[sunting | sunting sumber]

Takwim suria tidak bundar bilangan bulan qamari (iaitu sekitar 12.37 qamarian), maka sesebuah kalendar qamari-suria mestilah berubah-ubah bilangan bulan dalam setahunnya. Tahun-tahun biasa berbulan 12, sedangkan tahun-tahun 'lompat'-nya menambah satu bulan ke-13 dua ke tiga tahun sekali. Sama ada hendaknya menambah bulan lompat dalam suatu tahun boleh ditentukan dengan menggunakan kitaran sekata seperti kitar Meton 19 tahun (kalendar Ibrani dan penentuan hari Easter) ataupun menggunakan perhitungan fasa bulan (takwim qamari-suria Hindu dan Cina). Kalendar Buddha menambah hari dan bulan lompat sekali gus dalam kitaran yang lazimnya sekata.

Takwim Islam

[sunting | sunting sumber]

Takwim Islam berjadual biasanya terdiri daripada 12 bulan qamari yang bersilih ganti dari 30 ke 29 hari setiap tahun, tetapi hari interkalasi ditambah pada bulan terakhir dalam setahun sebanyak 11 kali di dalam kitar 30 tahun. Sesetengah ahli sejarah turut mengaitkan interkalasi dengan amalan Nasi' sebelum Islam.

Takwim Hijri-Shamsi adalah berasaskan hitungan suria dan serupa bentuk strukturnya dengan takwim Gregory, dan oleh itu terdapat interkalasi, kecuali bahawa takwim ini bermula dengan peristiwa Hijrah.[2]

Saat lompat

[sunting | sunting sumber]

Khidmat Putaran Bumi dan Sistem Rujukan Antarabangsa boleh menambahkan atau menggugurkan saat lompat daripada hari terakhir dalam sebarang bulan (terutama sekali Jun dan Disember). Kadang-kadang ini juga dikira sebagai interkalasi.[3]

Kegunaan lain

[sunting | sunting sumber]

ISO 8601 mencakupi spesifikasi untuk tahun 52 minggu. Sebarang tahun yang mempunyai 53 hari Khamis dikira mempunyai 53 minggu; maka minggu tambahan ini boleh dikira sebagai interkalasi.

  1. ^ Dari bahasa Yunani Purba: ἐπαγόμενος, epagomenos (bentuk pasif partisipel kala kini bagi ἐπάγειν, epagein "membawa masuk")
  2. ^ "Hijri-Shamsi Calendar". Al Islam. Dicapai pada June 14, 2014.
  3. ^ leap second by Merriam-Webster OnLine