Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

IPod shuffle

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

iPod shuffle ialah pemain audio digital yang direka dan dipasarkan oleh Apple Inc. Ia adalah model paling kecil dalam siri Apple iPod, dan merupakan yang pertama menggunakan memori kilat. Model pertama diumumkan di Macworld Conference & Expo pada 11 Januari 2005. Generasi keempat yang terkini diperkenalkan pada 1 September 2010.

Gambaran keseluruhan

[sunting | sunting sumber]

Generasi pertama

[sunting | sunting sumber]

Dilancarkan pada 11 Januari 2005, generasi pertama iPod shuffle mempunyai badan diperbuat daripada plastik, ia seberat 22 gram dikeluarkan dalam satu pilihan warna iaitu putih dan dua varian kapasiti iaitu 512 Megabait dan 1 Gigabait dan direka untuk membawa koleksi pilihan lagu dengan mudah serta memainkannya secara rambang. Menurut Apple, para pemilik model-model iPod terdahulu kerap memilih mod shuffle yang bermaksud memainkan muzik secara rambang berbanding mengikut turutan abjad. Maka iPod shuffle merupakan satu cara untuk melaksanakan tugas itu dengan sebuah gajet yang jauh lebih murah. Ia bergantung kepada penggunaan ciri "autofill" dalam iTunes yang boleh memilih lagu secara rambang daripada perpustakaan muzik pengguna (ataupun daripada playlist spesifik) dan memuatkan lagu sebanyak yang boleh ke dalam memori iPod shuffle. Ia mampu mengisi 240 buah lagu (bagi model 1 Gigabait, berdasarkan anggaran Apple, dengan setiap lagu berdurasi empat minit serta mempunyai kualiti 128 kbps dengan pengekodan AAC). Ia menggunakan Sistem Dalam Cip (SOC) SigmaTel STMP35xx dan Kit Pembangunan Perisiannya (SDK) v2.6, sebuah litar bersepadu (IC) memori kilat, dan sel Lithium USB yang boleh dicas semula. STMP35xx SOC dan perisiannya merupakan sistem main semula MP3 mudah alih yang paling bersepadu pada masa pelancaran. Manakala SigmaTel ialah IPO (2003) Austin yang terbesar dengan mendominasi lebih 60 peratus perkongsian pasaran antarabangsa pemain MP3 berasaskan memori kilat pada 2004. Pada tahun 2005, kemuncak produksi iPod shuffle generasi pertama mencapai seratus ribu unit sehari di kilang Asus.

Ia kehilangan scroll wheel yang menjadi lambang identiti Apple iPod, skrin paparan, ciri pengurusan playlist, permainan, buku alamat, calendar, penggera, dan nota yang menjadi kemampuan model-model iPod yang lebih besar. Ia juga tidak boleh digunakan dengan iSync. Disebabkan codec yang tidak dimasukkan, iPod shuffle generasi pertama tidak mampu memainkan format Apple Lossless dan AIFF.

Selaras dengan teknologi audio yang mantap daripada SigmaTel STMP35xx SOC dan SDK, iPod shuffle memberi respons bass yang lebih baik berbanding iPod classic generasi keempat, menurut sebuah reviu yang diterbitkan beberapa hari sebaik pelancarannya.

iTunes menawarkan beberapa ciri-ciri baru untuk iPod shuffle. Salah satunya ialah kemampuan untuk mengurangkan kadar bit lagu kepada 128 kbps AAC. Penukaran tersebut dijalankan secara automatik, dengan fail asal ditinggalkan tanpa disentuh di dalam komputer manakala yang fail yang lebih kecil (kadar bit lebih rendah) dihantar ke dalam iPod shuffle. Versi iTunes yang lama membenarkan playlist iPod shuffle untuk dilihat dan diubah sewaktu unit itu tidak disambungkan; pada masa iPod disambung, ia akan terus dikemaskini mengikut perubahan yang telah dilakukan. Fungsi ini tidak lagi tersedia.

Bahagian hadapan iPod shuffle mempunyai butang untuk main/jeda/kunci butang/masuk playlist, lagu seterusnya/pantas ke depan, lagu sebelumnya/pantas ke belakang/ulang, dan dua butang kawalan tahap kekuatan bunyi. Di belakangnya, terdapat lampu penunjuk kadar bateri (yang diaktifkan dengan satu punat) dan suis tiga posisi untuk menutup iPod shuffle ataupun menetapkannya supaya memainkan lagu secara rambang atau mengikut turutan abjad. Ia disambung terus ke lubang USB komputer (sama ada 1.1 atau 2.0) yang mana turut mengecas baterinya. Baterinya dijangka mempunyai jangka hayat 12 jam bagi setiap cas penuh. Plag USB tersorok di sebalik sebuah penutup. Unit itu juga turut disertakan bersama-sama cakera padat (CD) yang mengandungi perisian iPod dan iTunes, fon telinga serta tali yang disambungkan dengan penutup USB dan ini membenarkan pengguna menyarungkannya ke leher.

iPod shuffle juga boleh digunakan sebagai pemacu kilat untuk menyimpan data. iTunes membenarkan pengguna menetapkan berapa banyak ruang diperuntukkan bagi muzik dan berapa banyak untuk menyimpan fail.

Generasi kedua

[sunting | sunting sumber]

Pada 12 September 2006, Apple mengumumkan pelancaran generasi kedua iPod shuffle. Penghantaran muatan pertama dikatakan untuk ketibaan Oktober 2006, tetapi sebenarnya mula dihantar pada hari Jumaat, 3 November 2006. Generasi kedua ini pada awalnya hanya menampilkan varian tunggal 1 GB. Berbeza dengan generasi pertama yang dibuat daripada plastik, generasi kedua dibina dengan badan aluminium perak, sama seperti yang terdapat pada generasi kedua iPod nano dan model lama iPod mini. Model terbaru ini mempunyai saiz kurang daripada separuh saiz generasi pertama iaitu 41.2 x 27.3 x 10.5 milimeter (1.62 x 1.07 x 0.41 inci) dan merupakan saiz alat kawalan radio iPod yang tersedia untuk iPod nano dan iPod classic generasi kelima. Apple mendakwanya sebagai "pemain MP3 terkecil di dunia". Saiz ini termasuk dengan klip tali pinggang terbina dalam yang baru diperkenalkan. Unit yang sebenarnya lebih nipis, dengan keseluruhan alat berkenaan hanya seberat 15.5 g. Suis kuasa/shuffle/main mengikut abjad daripada versi generasi pertama telah dipisahkan kepada dua kawalan bagi mengelakkan tertukar mod operasi secara tidak sengaja. Format iPod itu sendiri adalah baru kepada Apple, yang mana generasi kedua tersebut hanya akan mengformat dirinya kepada FAT32 yang disokong oleh kedua-dua sistem pengoperasian Mac dan Windows. iTunes memberi amaran bahawa iPod tersebut akan diformat secara salah jika dibawa kepada format Macintosh iaitu HFS+. Semua model iPod terdahulu telah membenarkan penggunaan salah satu format sama ada Mac ataupun Windows.

Pada generasi kedua iPod shuffle, sambungan USB dilakukan menggunakan sebuah perkakasan yang disertakan bersama pakej yang mana ia bertindak sebagai docking station untuk penukaran data dan mengecas semula bateri dalaman iPod melalui jek fon telinga. Generasi kedua iPod shuffle turut boleh dijadikan pemacu kilat, sama seperti generasi pertama. Cuma ia kini tidak lagi menyokong USB 1.1. CD perisian iPod juga tidak lagi disediakan seperti generasi pertama. Sebaliknya pengguna perlu memuat turun iTunes sendiri melalui internet di laman web Apple. Perisian iPod pula disediakan dalam iPod itu sendiri dan kaedah ini digunakan berterusan hingga generasi terkini.

Generasi kedua shuffle berupaya memainkan fail audio MP3, MP3 VBR, AAC, Protected AAC, Audible (format 2, 3 dan 4), WAV dan AIFF. Kerana kuasa pemprosesan yang rendah, satu-satunya format yang disokong iTunes tetapi tidak disokong iPod ini ialah Apple Lossless. Menggunakan format tidak mampat bersaiz besar seperti WAV dan AIFF akan memenuhkan kapasiti 1 GB alat tersebut dengan cepat. iPod shuffle juga tidak boleh memainkan muzik daripada fail video muzik.

Pada 30 Januari 2007, Apple menghebahkan empat warna baru untuk siri iPod shuffle. Pilihan merah jambu, jingga, hijau dan biru telah tersedia melalui peruncit dan Apple Store (atas talian) sebagai pertambahan bagi warna perak yang asal. Warna jingga adalah baru untuk francais iPod. Ia juga datang dengan fon telinga yang direka semula dan tidak disertakan dengan model perak yang asal. Kotaknya juga turut diubah dengan mempunyai tulisan berwarna kelabu menggantikan teks berwarna hijau limau nipis. Tulisan hijau limau nipis membawa maksud bahawa ia disertakan dengan fon telinga asal, teks kelabu pula bererti fon telinga baru disertakan. Pada 5 September 2007, Apple memperbaharui siri tersebut dengan memperkenalkan empat lagi warna baru iaitu firus, lavender, hijau pudina dan Product Red. Empat warna sebelum ini yakni jingga, biru, hijau dan merah jambu dihentikan.

Pada 19 Februari 2008, Apple memperkenalkan versi 2 GB untuk iPod shuffle, dijual dengan harga runcit US$69 dan tersedia dalam semua model yang sama seperti model 1 GB. Pada hari yang sama, harga model 1 GB diturunkan dari US$79 kepada US$49.

Model 2 GB iPod shuffle generasi kedua dihentikan pada 11 Mac 2009 sementara versi 1 GB telah dihentikan pada 9 September 2009.

Generasi ketiga

[sunting | sunting sumber]

Generasi ketiga iPod shuffle dilancarkan pada 11 Mac 2009, hari yang sama model 2 GB generasi kedua dihentikan. Ia dikatakan oleh Apple sebagai "pemain muzik pertama yang bercakap kepada anda" dengan dimensi 45.2 x 17.5 x 7.8 mm (1.78 x 0.69 x 0.31 in). Ia menggunakan badan aluminium seperti generasi kedua dan tersedia dalam warna perak dan hitam. Ini membuatkannya menjadi iPod shuffle pertama yang tersedia dalam warna hitam. Docking station juga tidak lagi disediakan dalam generasi ketiga sebaliknya proses penukaran data dan mengecas bateri dilakukan melalui kabel USB yang diberikan bersama-sam iPod di dalam kotak. Jangka hayat baterinya menurun dari 12 jam untuk generasi pertama dan kedua, kepada 10 jam untuk generasi ini. Ia menampilkan teknologi VoiceOver yang membolehkan tajuk lagu, penyanyi, nama album dan nama playlist disebut dalam dua puluh bahasa yang berbeza menggunakan Teks-kepada-Ucapan yang dimasukkan ke dalam iTunes 8 dan 9. Ia turut menyokong senarai main berganda, sebagai kontras dengan dua generasi sebelumnya, yang hanya membenarkan satu playlist shaja.

iPod shuffle generasi ketiga ini menampilkan klip keluli yang mudah calar yang sebelum ini hanya ditemui pada iPod yang lebih besar berbanding aluminium pada generasi kedua. Ia juga tidak mempunyai apa-apa punat kawalan pada badan alat itu kecuali suis. Sebaliknya, kesemua kawalan itu dipindahkan ke tali fon telinga sebelah kanan yang disertakan bersama iPod shuffle. Alat tersebut mempunyai tiga butang iaitu menguatkan bunyi, merendahkan bunyi dan satu butang tengah tanpa label. Pengguna perlu menekan sekali bagi fungsi main/jeda; dua kali ditekan untuk pergi ke lagu yang seterusnya; tiga kali ditekan untuk ke lagu sebelumnya dan tekan dan pegang untuk mengaktifkan VoiceOver. Ia adalah sesuatu yang mustahil untuk menukar lagu atau melaraskan kekuatan bunyi menggunakan fon telinga daripada jenama lain disebabkan ia tiada punat kawalan tersebut. Walau bagaimanapun, disebabkan iPod shuffle memainkan muzik secara automatik apabila ia dihidupkan, maka fon telinga daripada jenama lain masih boleh digunakan (tanpa kawalan trek dan bunyi. Sesetengah fon telinga dan pengadaptasi fon telinga pihak ketiga menertakan kawalan penuh untuk iPod shuffle generasi ketiga. Fon telinga rasmi mengandungi cip yang direka oleh Apple untuk mengawal alat tersebut. Pengurusan hak digital (DRM) walau bagaimanapun tidak muncul dalam cip itu kerana tiada enkripsi digunakan.

Pada 9 September 2009, hari yang sama model 1 GB generasi kedua dihentikan, Apple memperkenalkan tiga warna baru untuk iPod shuffle generasi ketiga iaitu merah jambu, biru dan hijau. Apple Store turut menawarkan versi 4 GB yang diperbuat daripada keluli tahan karat.

Generasi keempat

[sunting | sunting sumber]

Pada hari Rabu, 1 September 2010, iPod shuffle generasi keempat dikeluarkan dengan menampilkan semula suis tiga posisi kuasa/shuffle/tidak shuffle daripada generasi pertama dan pad kawalan klik seperti yang terdapat pada generasi kedua. Pad kawalannya kini 18% lebih besar daripada generasi kedua. Ia setinggi 29 mm (1.14 in), lebar 31.6 mm (1.24 in), kedalaman 8.7 mm (0.34 in) termasuk klip dan mempunyai berat 12.5 g (0.44 auns). Isipadu sebenar pula ialah 5668 cubic mm (0.35 cubic in) termasuk klip.

Unit ini didatangkan bersama-sama kabel USB 45 mm daripada generasi ketiga untuk tujuan mengecas bateri dan menukar data. Kabel yang lebih panjang tersedia dengan kos US$19. VoiceOver turut dibawa ke generasi keempat tetapi kini ia telah memiliki butang khas. Butang VoiceOver ini digunakan untuk mendengar tajuk lagu dan nama artis, status bateri dan mendengar menu playlist. VoiceOver dalam generasi keempat kini mampu bertutur dalam 29 bahasa iaitu:

  1. Kantonis
  2. Mandarin
  3. Czech
  4. Denmark
  5. Belanda
  6. Inggeris Australia
  7. Inggeris British
  8. Inggeris Amerika Syarikat
  9. Finland
  10. Kanada
  11. Perancis
  12. Jerman
  13. Greek
  14. Hungary
  15. Itali
  16. Jepun
  17. Korea
  18. Norway
  19. Poland
  20. Brazil
  21. Portugis
  22. Romania
  23. Rusia
  24. Slovak
  25. Mexico
  26. Sepanyol
  27. Sweden
  28. Thailand
  29. Turki

Ia juga kini turut menyokong Genius playlist dan Genius Mixes serta koleksi iTunes U selain playlist berganda. Format yang mampu dimainkan oleh iPod shuffle generasi keempat ialah:

  • AAC (8 - 320 kbps)
  • Protected AAC (daripada iTunes Store)
  • MP3
  • MP3 VBR
  • Audible (format 2, 3, 4, Audible Enhanced Audio, AAX dan AAX+)
  • Apple Lossless
  • AIFF
  • WAV

Baterinya mampu bertahan selama 15 jam untuk main semula audio, lebih lama berbanding tiga generasi sebelumnya. Ia kini dijual dalam lima warna (perak dengan pad kawalan hitam, biru, hijau, jingga dan merah jambu dengan pad kawalan putih). Fon telinga yang diberikan di dalam kotak tidak mempunyai alat kawalan lagi kerana ia telah dipindahkan ke badan iPod itu sendiri. Ia hanya dijual dalam model 2GB dengan harga Amerika Syarikat ditetapkan pada US$49, di Eropah ia berharga €55, di United Kingdom ia berharga £40, di Australia AUD$55 dan di Malaysia ia dijual dari RM169 hingga RM179.