Khalid bin al-Walid
خالد بن الولي Khalid ibni al-Walid | |
---|---|
592 - 642 pada umur 50 tahun | |
Gelaran | Pedang Allah |
Tempat lahir | Makkah, Arab Saudi |
Tempat wafat | Hims, Syria |
Kesetiaan | Khulafa al-Rasyidin |
Pangkat | Ketua Panglima Tentera Islam |
Khalid bin al-Walid atau Khalid ibni al-Walid (1 Julai 592- 1 Oktober 642) (Arab: خالد بن الوليد ; Khālid ibn al-Walīd), nama sebenarnya Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah; beliau juga dikenali sebagai Saifullah al-Maslul (bahasa Arab: بسيف الله المسلول bermaksud Pedang Allah yang terhunus atau Pedang Allah), adalah antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine dan tentera Parsi pada kurun ketujuh.[1] Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab.[1] Pencapaian terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja.
Khalid bin al-Walid berbangsa Arab keturunan Quraisy yang pernah suatu ketika menentang Nabi Muhammad . Beliau merupakan seorang askar yang aktif ketika Perang Uhud menentang tentera Islam. Ketika tempoh damai berikutan pemeteraian Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam dan memohon maaf kepada Nabi Muhammad atas tindakan beliau sebelum ini. Ketika zaman nabi Muhammad, beliau menyertai tentera Islam dalam Perang Mu'tah dan juga perang-perang lain. Selepas kewafatan Nabi, beliau dilantik penglima perang dan mengetuai ekspedisi menentang tentera Sasan Parsi dan juga tentera Empayar Byzantine (digelar "Rum" oleh orang Arab pada masa itu.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Khalid dilahirkan c. 592 di Makkah, anak kepada Walid bin al-Mughira, ketua Bani Makhzum, sebuah suku daripada suku bangsa Quraisy. Bani Makhzum satu daripada tiga suku yang terunggul di Makkah pada masa itu – yang dua lain ialah Bani Hasyim dan Banu Abdul Dar (Bani Abd-al-dar). Beliau sepupu Saidina Umar. Bapanya terkenal di Makkah dengan gelaran Al-Waheed (Yang Satu).[2] Bani Makhzum bertanggungjawab tentang perkara-perkara berkaitan dengan peperangan. Sejurus selepas kelahirannya, dan dengan mengikut resam orang Quraisy, Khalid dihantar untuk tinggal bersama suku kaum Badwi di kawasan gurun Arabia, dan disusukan oleh seorang ibu susu yang juga membesarkan kanak-kanak dalam suasana persekitaran udara padang pasir yang kering, nyaman dan bersih. Beliau pulang kepada ibu bapanya semasa berumur lima atau enam tahun. Semasa zaman kanak-kanak, Khalid diserang penyakit cacar; beliau pulih akan tetapi penyakit cacar itu meninggalkan parut pada pipi kirinya.[3]
Khalid dan Umar, Khalifah kedua, sepupu dan wajah mereka mirip masing-masing. Mereka tinggi dan Khalid juga berbadan tegap dan berbahu lebar. Beliau berjanggut tebal.[4] Beliau juga seorang juara gusti.
Sebagai seorang ahli Bani Makhzum, satu suku yang pakar dalam peperangan dan dikira antara penunggang kuda yang terbaik di Semenanjung Arab, pada zaman kanak-kanaknya, Khalid belajar menunggang kuda dan mengguna senjata seperti tombak, lembing, busur dan pedang. Dikatakan tombak menjadi senjata kesukaannya. Pada zaman remaja beliau disanjung sebagai seorang pahlawan dan ahli gusti oleh orang Quraisy.[5]
Zaman Nabi Muhammad (SAW) (610–632 M)
[sunting | sunting sumber]Tidak banyak yang diketahui tentang Khalid sewaktu dakwah awal Nabi Muhammad (SAW), namun diketahui bahawa bapa Khalid, Walid al-Mughirah, memusuhi utusan yang dibawa Nabi Muhammad dan diri baginda sendiri.
Berikutan Hijrah Nabi Muhammad, masyarakat orang Islam Madinah dan Quraisy Jahiliah Makkah bertempur buat beberapa kali.[6] Khalid tidak mengambil bahagian dalam Perang Badar—pertempuran pertama antara Muslim Madinah dengan puak Quraisy Makkah—tetapi saudara lelakinya, Walid bin Walid tertangkap dan menjadi tawanan orang Islam. Khalid bersama-sama abangnya Hasham bin Walid pergi ke Madinah untuk membayar wang tebusan untuk Walid, tetapi dalam perjalanan pulang ke Makkah, Walid meloloskan dirinya daripada dua saudaranya dan pulang ke Nabi Muhammad di Madinah untuk memeluk Islam.[7] Kepimpinan Khalid memainkan peranan penting dalam mengubah perjalanan pertempuran semasa Perang Uhud (625 M) dan hampir-hampir memastikan kemenangan Quraisy dalam pertempuran itu.[8] Pada tahun 627 M beliau mengambil bahagian dalam Perang Ahzab (juga dikenali sebagai Perang Khandaq) menentang Muslim Madinah. Perang Ahzab merupakan kali terakhir Khalid menentang Islam.[9]
Memeluk Islam
[sunting | sunting sumber]Sebuah perjanjian damai selama 10 tahun dimeterai orang Islam dan Quraisy Makkah dengan [Perjanjian Hudaibiyah] pada tahun 628. Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad memberitahu saudara Khalid, Walid bin Walid, bahawa: "Seorang lelaki seperti Khalid, tidak akan dapat menjauhkan dirinya daripada Islam buat masa yang lama".[10] Walid mengirim surat kepada Khalid untuk memujuknya memeluk Islam. Khalid, yang sebenarnya tidak beberapa tertarik dengan berhala yang terdapat di Kaabah, membuat keputusan untuk memeluk Islam dan dikatakan telah berkongsi keputusannya dengan rakan zaman kanak-kanaknya, Ikrimah bin Abu Jahal. Ikrimah tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil Khalid. Abu Sufyan bin Harb mengugut Khalid akan tetapi beliau ditahan Ikrimah yang dilaporkan telah berkata: "Bertenang ya Abu Sufyan! Kemarahan anda mungkin juga mendorong saya untuk menyertai Muhammad. Khalid bebas untuk memilih mana-mana agama yang dipilihnya."[11]
Pada Mei 629 M, Khalid bergerak menuju ke Madinah. Dalam perjalanannya ke kota itu beliau bertemu Amr al-As dan Uthman bin Talha, yang juga dalam perjalanan ke Madinah untuk memeluk Islam. Mereka tiba di Madinah pada 31 Mei 629 dan pergi ke rumah Nabi Muhammad. Khalid disambut oleh abangnya Walid bin Walid dan merupakan orang yang pertama antara yang tiga untuk memeluk Islam.[12]
Kempen Ketenteraan pada zaman Nabi Muhammad
[sunting | sunting sumber]Perang Mu'tah
[sunting | sunting sumber]Tiga bulan selepas ketibaan Khalid di Madinah, Nabi Muhammad menghantar seorang utusan kepada kerajaan Ghasan Syria, sebuah kerajaan ufti di bawah Empayar Byzantine, dengan sepucuk surat yang mempelawa raja Ghasan untuk memeluk Islam. Semasa melintasi Mu'tah, utusan ini dipintas dan dibunuh seorang ketua Ghasan tempatan yang bernama Syuhrabil bin Amr. Secara resamnya, utusan diplomatik terselamat daripada serangan dan berita tentang serangan ini menimbulkan kemarahan Madinah.[13]
Sebuah ekspedisi ketenteraan ditubuhkan untuk menghukum pihak Ghasan. Rasulullah (SAW) melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima pasukan Muslim. Sekiranya Zaid gugur, tampuk pemerintahan akan diambil alih Ja'afar bin Abi Talib, dan sekiranya Ja'afar juga gugur, tentera Islam akan dipimpin Abdullah bin Rawahah. Dan sekiranya ketiga-tiga orang ini juga terbunuh, maka anggota ekspedisi ini harus memilih seorang daripada mereka sebagai ketua.[13]
Kesemua yang dinamakan sebagai panglima itu gugur semasa pertempuran dan Khalid dipilih tentera Islam sebagai pengganti. Beliau berjaya memimpin angkatan ekspedisinya seramai 3,000 orang menentang ketumbukan besar Empayar Byzantine dan Ghasan seramai 200,000 orang dalam apa yang disebut pertempuran Mu'tah. Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim pada saat yang genting, dan mengubah apa yang berkemungkinan menjadi penyembelihan orang Islam kepada satu pengunduran strategik dan berjaya menyelamatkan pasukan Muslim daripada kemusnahan total.[14]
Khalid menghantar sebahagian pasukannya ke belakang ketumbukan utamanya pada waktu malam. Pada keesokan hari mereka diarah menyertai ketumbukan utama dalam kumpulan-kumpulan kecil, menimbulkan tanggapan bahawa pasukan Islam sedang diperkukuhkan dan sekaligus menurunkan semangat tentera musuh. Pada hari pertempuran, Khalid berjaya mengekalkan barisan depannya dan tentera Muslim berundur ke Arabia pada waktu malam hari pertempuran. Pasukan Byzantine tidak memburu tentera Muslim kerana mempercayai bahawa mereka akan diperangkap tentera Muslim.[15] Dikatakan bahawa Khalid berjuang dengan berani pada Pertempuran Mu'tah dan telah mematahkan sembilan bilah pedang semasa bertempur. Beliau diberi gelaran Saifullah al-Maslul kerana berjaya menyelamatkan tenteranya daripada dimusnhakan musuh dan membawanya pulang agar dapat berjuang pada hari lain.[16][17] Gelaran Saifullah (Pedang Allah) dikurniakan Nabi Muhammad, justeru Khalid sudah terkenal dengan gelaran ini lama sebelum pertempuran Mu'tah berlaku.
Kempen-kempen terkemudian
[sunting | sunting sumber]Setahun kemudian, pada tahun 630 M, tentera Islam mara dari Madinah menuju ke kota Makkah (juga dieja "Mekah"). Dalam gerakan membuka Makkah, Khalid menjadi panglima satu daripada empat pasukan tentera Muslim yang memasuki kota Makkah melalui jalan-jalan berbeza, dan menewaskan pasukan berkuda Quraisy. Kemudian pada tahun yang sama beliau terlibat dalam Pertempuran Hunain dan Pengepungan Ta'if.
Khalid menyertai kempen Tabuk di bawah perintah Nabi Muhammad, dan dari tabuk, beliau dihantar ke Daumat al-Jandal di mana beliau berjaya menawan Raja Arab Daumat al-Jandal dan dengan itu memaksa Daumat al-Jandal menyerah kalah.[18]
Pada tahun 631 M beliau bersama-sama Nabi Muhammad semasa baginda menunaikan haji terakhir. Dikatakan Khalid dapat mengumpul beberapa helai rambut Nabi Muhammad pada ibadat haji tersebut dan dikatakan Khalid percaya bahawa rambut Rasulullah (SAW) tersebut membawa berkat dan dapat membantunya dalam pertempuran.[19]
Kempen-kempen ketenteraan sebagai panglima
[sunting | sunting sumber]Pada bulan Januari 630 M (8 H, bulan kesembilan takwim Islam),[20] Khalid bin al-Walid dihantar untuk memusnahkan patung berhala al-Uzza, yang disembah oleh orang yang mengamalkan politeisme. Beliau melakukan ini,[21][22] dan membunuh seorang wanita Habsyi.[23]
Khalid bin al-Walid juga dihantar untuk menjemput Banu Jadhimah ke jalan Islam. Mereka mula berkata, "Saba'na, Saba'na" (kami menjadi Saabien) (Arab: صابئة ), jadi Khalid menawan mereka dan mula membunuh beberapa orang oleh sebab permusuhan lama, sehinggalah beliau ditegah melakukan demikian oleh Abdul Rahman bin Awf. Sebelum ini, beberapa orang lelaki daripada Jadhimah telah membunuh Al-Fakih bin Al-Mughirah Al-Makhzumi, bapa saudara Khalid, dan juga Awf bin Abd-Awf, bapa Abdul Rahman bin Awf.[21][22][24][25][26] Nabi Muhammad SAW menjadi marah apabila baginda dimaklumkan tentang perbuatan Khalid; kemudian baginda membayar pampasan kepada para waris mangsa dan juga untuk kerosakan harta benda dan baginda berkali-kali berkata: "Ya Allah, aku tidak ada kena mengena dengan perbuatan Khalid bin al-Walid!"[27][28][29] Pada masa itu Khalid telah menjadi Muslim hanya selama enam bulan dan masih terbawa-bawa perwatakan zaman jahiliahnya.
Jasa dan Sumbangannya
[sunting | sunting sumber]Khalid bin al-Walid, panglima tentera Muslim pada waktu awal Islam, memiliki kerjaya penuh dengan kesuksesan dan kemenangan. Antara pencapaiannya yang terkenal adalah penaklukan Syria, Iraq, dan Parsi, dan penubuhan kerajaan Muslim pertama. Dia juga terkenal dengan kemurah-hatiannya dan kebolehan amarnya, selalu membantu mereka yang memerlukan, bahkan mereka yang menentangnya.
Salah satu cerita terkenal tentang kemurah-hatian dan kebolehan amal Khalid bin Al-Walid melibatkan sekelompok orang yang menderita kebuluran dan kemarau di salah satu daerah yang direbutnya. Dia mengetahui nasib mereka dan pergi untuk mengikut mereka, menyediakan makanan dan bekalan, tetapi enggan menerima hadiah atau ganti rugi dalam balasan. Orang-orang itu terkejut dengan kemurah-hatiannya dan tergerak untuk mengubah diri dan memeluk Islam.
Cerita lain tentang kemurah-hatian Khalid bin Al-Walid melibatkan lelaki miskin yang datang kepada dia dan mencari bantuan. Khalid memberinya sedikit duit dan mendorongnya mulai perniagaan, tetapi lelaki tersebut pulang tak lama selepas itu, masih miskin dan berjuang. Khalid kemudian membantu dia lagi, kali ini dengan memberi dia petunjuk dan latihan memonitor kewangan dan menginvestasikan perniagaannya. Lelaki itu dapat membalik nasibnya dan menjadi berjaya, semuanya adalah berkat arahan dan kemurah-hatian Khalid.
Secara keseluruhan, reputasi Khalid bin Al-Walid sebagai kemurah-hatian dan kebolehan amalnya dalam hidupnya yang terkenal. Tindakan kemurah-hatian dan kebolehan amarnya terhadap yang lain, bahkan kepada mereka yang mengadangnya, akan membuat contoh yang kuat dan mendapatkan reputasinya sebagai pemimpin yang adil dan murah hati.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Khalid ibn al-Walid." Encyclopædia Britannica [1]
- ^ Akram 2004, halaman 2
- ^ Akram 2004, halaman 3
- ^ Akram 2004, halaman 4
- ^ Akram 2004, halaman 5
- ^ Akram 2004, halaman 9
- ^ Akram 2004, halaman 14
- ^ Weston 2008, halaman 41
- ^ Akram 2004, halaman 70
- ^ Akram 2004, halaman 75
- ^ Al-Waqidi 8th century, halaman 321
- ^ Walton 2003, halaman 208
- ^ a b Nicolle 2009, halaman 22
- ^ Akram 2004, halaman 80
- ^ Akram 2004, halaman 90
- ^ Al-Waqidi 8th century, halaman 322
- ^ Ibn Hisham 9th century, halaman 382
- ^ Akram 2004, halaman 128
- ^ Akram 2004, halaman 135
- ^ "List of Battles of Muhammad". Military.hawarey.org. 2005-10-28. Dicapai pada 2011-08-28.
- ^ a b The sealed nectar, By S.R. Al-Mubarakpuri, Pg256. Books.google.co.uk. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-17. Dicapai pada 2011-08-28.
- ^ a b ""He sent Khalid bin Al-Waleed in Ramadan 8 A.H", Witness-Pioneer.com". Witness-pioneer.org. 2002-09-16. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-27. Dicapai pada 2011-08-28.
- ^ The life of Mahomet and history of Islam, Volume 4, By Sir William Muir, Pg 135 See bottom, Notes section
- ^ The life of Mahomet and history of Islam, Volume 4, By Sir William Muir, Pg 135. Books.google.co.uk. Dicapai pada 2011-08-28.
- ^ Ibn Ishaq, Sirat Rasul Allah (Life of Muhammad), trans. Guillaume, Oxford 1955, pp. 561–562
- ^ al-Tabari, Victory of Islam, trans. Fishbein, Albany 1997, pp. 188 ff.
- ^ In the Footsteps of the Prophet:Lessons from the Life of Muhammad, By Tariq Ramadan Page 179 [2]
- ^ Tafsir Ibn Kathir all 10 volumes By IslamKotob Page
- ^ The Meaning And Explanation Of The Glorious Qur’an (Vol 2) 2nd Edition By Muhammad Saed Abdul-Rahman Page 241 [3]