Maklumat di laman ini adalah berdasarkan pada purata sejarah dan mungkin tidak menggambarkan keadaan semasa. Sila semak dengan pihak berkuasa tempatan untuk nasihat perjalanan yang terkini.
Baca selanjutnyaMasa terbaik untuk melawat Taiwan ialah dari bulan Februari hingga April dan Oktober hingga Disember. Kedua-dua tempoh ini ialah sebelum dan selepas musim panas dan taufan, sekaligus membolehkan anda memanfaatkan sepenuhnya iklim subtropika yang hangat dan beberapa acara paling popular di Taiwan.
Diiringi dengan cuaca yang baik, dunia luar Taiwan berbaloi untuk diterokai pada bulan-bulan ini. Saksikan keindahan bunga sakura berkembang di Yangmingshan dari bulan Februari, lihat kelip-kelip yang memukau di Taman Dongshi Forest pada bulan April atau nikmati keindahan warna-warna musim luruh di Alishan menjelang hujung tahun. Tidak kira bila dan ke mana sahaja anda pergi untuk pengembaraan luar anda, mata air panas di Beitou dan Wulai merupakan tempat yang ideal untuk mengembalikan tenaga anda. Di bandar, iklim yang selesa menjadikannya masa yang ideal untuk menerokai tarikan-tarikan utama seperti Pasar Malam Shilin dan Gunung Gajah, dan menyertai suasana meriah semasa Pesta Tanglung dan Taiwan Pride.
Lebih lanjut tentang waktu paling sesuai untuk melawat Taiwan
Tips pelancongan dan cuaca bulanan bagi Taiwan
Januari merupakan bulan paling sejuk di Taiwan dengan purata suhu sekitar 17°C pada bulan ini. Walaupun suhunya jauh daripada tahap beku, anda masih patut membawa jaket bersama kerana kelembapan cuaca di wilayah utara seperti Taipei membuatkan keadaannya berasa beberapa darjah Celsius lebih sejuk. Wilayah selatan negara ini lebih kering dan panas, tetapi perbezaannya akan lebih ketara jika anda naik lebih tinggi ke kawasan pergunungan – seperti Hehuanshan dan Xueshan – yang turut berpeluang menerima salji.
Bulan Januari biasanya tidak mempunyai banyak acara, melainkan Tahun Baru Cina jatuh pada bulan ini. Festival berlangsung mengikut kalendar lunar, yang bermaksud ia boleh berlangsung pada bila-bila masa dari 21 Januari hingga 20 Februari. Oleh itu anda disarankan menyemak lebih awal sama ada kunjungan anda serentak dengan kehadiran pengunjung yang ramai dan perayaan besar-besaran.
19°C
Tinggi
14°C
Rendah
Bulan Februari di Taiwan biasanya bercuaca sederhana, dengan purata suhu pada angka hujung belasan. Cuacanya lebih dingin dan lebih basah di utara Taipei, manakala bandar-bandar di bahagian selatan dan timur seperti Kaohsiung dan Taitung mempunyai suhu yang lebih tinggi dengan hari-hari yang kering dan cerah.
Pengunjung pada bulan Februari bergantung pada tempoh Tahun Baru Cina. Festival ini mengikut kalendar lunar, jadi ia boleh jatuh sama ada dalam bulan Januari mahupun Februari – tetapi kemungkinan lebih besar pada bulan Februari. Jika anda berada di Taiwan semasa Tahun Baru Cina, jangkakan kesibukan di pengangkutan awam, destinasi tarikan pelancong yang sesak dan suasana yang meriah apabila warga tempatan pulang ke kampung halaman dan bercuti bersama keluarga. Tahun Baru Cina di Taiwan diakhiri dengan Pesta Tanglung, di mana keluarga berkumpul di bandar-bandar seperti Pingxi untuk melepaskan tanglung ke langit. Semak lebih awal sama ada Pesta Tanglung akan berlangsung semasa kunjungan anda – ia biasanya jatuh pada bulan Februari, tetapi adakalanya boleh juga disambut pada bulan Mac.
20°C
Tinggi
14°C
Rendah
Musim bunga yang selesa menanti anda jika anda melawat Taiwan pada bulan Mac. Tempat-tempat seperti Taipei dan Taoyuan cenderung menerima hujan, tetapi hujan yang diiringi dengan suhu yang tinggi membantu bunga-bunga Tung dan lain-lain mula berputik.
Satu lagi bunga yang dapat anda lihat di Taiwan dalam bulan Mac ialah bunga ceri. Bunga-bunga berwarna merah jambu lembut ini sebenarnya boleh berputik seawal bulan Januari di sini, tetapi cuaca yang lebih panas membuat bulan Mac masa yang popular untuk menyaksikannya – dan alternatif yang kurang sesak berbanding musim sakura di Jepun. Jika permulaan musim bunga menggamit anda untuk membuat aktiviti luar, hidupkan semangat mengembara anda dengan membuat kembara berjalan kaki di denai gunung Taman Negara Yushan, menerokai Gaung Taroko atau bersantai di Mata Air Panas Beitou.
22°C
Tinggi
16°C
Rendah
Bulan April di Taiwan menyaksikan hari yang lebih cerah dan purata suhu meningkat melepasi angka 20°C. Inilah masa yang ideal untuk mendaki Gunung Gajah di Taipei, tetapi sentiasa peka dengan hujan yang semakin kerap turun di sini dan juga di seluruh Taiwan menjelang hujung bulan.
Bulan April menandakan bermulanya Festival Bunga Api Penghu yang berlangsung setiap tahun – yang membawakan persembahan bunga api setiap beberapa hari selama dua bulan di gugusan pulau Penghu. Jika anda inginkan persembahan lampu yang berbeza, terokai alam semula jadi Taiwan untuk menyaksikan musim kelip-kelip. Tempat-tempat seperti Taman Negara Yangmingshan dan Taman Dongshi Forest di Taichung menempatkan kawanan kelip-kelip yang mengindahkan suasana malam dengan lampu hijau cerahnya yang memukau. Untuk menikmati lagi pemandangan semula jadi Taiwan, kunjungi wilayah utara ke Zhuzihu untuk menyaksikan bunga-bunga lili putih berkembang dengan indah.
26°C
Tinggi
19°C
Rendah
Jangkakan suasana panas, lembap dan hujan jika anda melawat Taiwan dalam bulan Mei. Bulan ini menandakan bermulanya musim hujan plum di Asia Timur, musim hujan selama 2 bulan yang melanda Taiwan dan beberapa negara jirannya. Musim ini – yang dinamakan bersempena serentaknya dengan masa buah plum masak – membawakan hujan yang singkat tetapi lebat dan diiringi dengan petir, biasanya pada waktu petang. Payung dan baju hujan yang nipis merupakan kelengkapan penting pada masa ini.
Jika anda sudahpun lencun dibasahi hujan, tak perlu bersusah payah mengeringkan pakaian. Sebaliknya, kunjungi salah satu mata air panas di Taiwan. Air panas semula jadi di kawasan-kawasan seperti Beitou dan Wulai merupakan destinasi popular untuk bersantai dan menenangkan fikiran. Jika anda sanggup menghadapi hujan pada waktu petang, taman-taman negara di Taiwan juga berbaloi untuk dikunjungi. Landskap berbatu-batu di Taman Negara Taroko, pantai dan gunung di Kenting dan aneka tumbuh-tumbuhan di Taman Negara Yangmingshan semuanya menyediakan latar belakang yang indah untuk bergambar – tapi bersiap-sedialah dengan payung untuk memastikan anda dan kamera anda tidak basah.
29°C
Tinggi
23°C
Rendah
Bulan Jun di Taiwan menghampiri kemuncak musim panas, jadi jangkakan suhu yang tinggi, hujan yang lebat dan iklim tropika yang umumnya lembap. Musim hujan plum sedang berada di kemuncaknya, dengan hujan yang singkat tetapi lebat dan diiringi dengan petir, khususnya di bahagian selatan di Kaohsiung. Suasana panas dan hujan reda pada sebelah malam sekaligus menyediakan cuaca yang lebih sejuk dan selesa – ideal untuk menerokai pasar-pasar malam Taipei yang sarat dengan makanan jalanan.
Satu acara besar dalam kalendar acara kebudayaan di Taiwan ialah Festival Bot Naga. Tarikhnya berbeza-beza kerana ia mengikut kalendar lunar, tetapi kebiasaannya ia jatuh pada bulan Jun. Orang ramai berkumpul di tepi sungai di Taipei, Miaoli dan Lukang untuk melihat pendayung berentap di dalam bot-bot dengan corak yang kompleks, dan memakan ‘zongzi’ – ladu pulut berbentuk segitiga yang dibalut dalam daun buluh. Jika cuaca bulan Jun terlalu panas untuk anda, sejukkan diri di dalam kedai-kedai berhawa dingin di menara Taipei 101 yang terkenal, atau di dalam pusat-pusat beli-belah dan restoran yang banyak terdapat di ibu kota ini.
32°C
Tinggi
26°C
Rendah
Bulan Julai merupakan bulan terpanas di Taiwan, dengan purata suhu pada paras hujung 20-an di seluruh negara – dan suasana lembap membuatkan suhu berasa seperti 35°C. Bulan Julai juga merupakan sebahagian daripada musim taufan di sini, jadi sentiasa peka dengan ramalan cuaca semasa kunjungan anda. Jika tiada taufan dan anda cuaca panas bukanlah halangan, banyak yang boleh anda lakukan di sini.
Festival Belon Taitung menyaksikan aneka belon udara panas yang berwarna-warni menghiasi langit, manakala Pantai Fulong berubah wajah menjadi galeri seni terbuka menerusi karya-karya indah yang dipamerkan di Festival Arca Pasir Antarabangsa. Untuk berehat seketika dalam keselesaan berhawa dingin, kunjungi Muzium Istana Negara atau Muzium Seni Halus Taipei, kemudian basahkan tekak dengan teh boba yang sejuk di negara tempat lahir minuman ini.
34°C
Tinggi
27°C
Rendah
Cuaca panas terus melanda Taiwan dalam bulan Ogos, dengan suhu tropika dan hujan petang yang sama seperti dalam bulan Julai. Musim taufan juga berterusan sehingga bulan Ogos, jadi pastikan anda menyemak ramalan cuaca untuk melihat bagaimana ia boleh memberi kesan kepada lawatan anda.
Musim ini biasanya membawakan hanya beberapa taufan ke Taiwan dalam tempoh beberapa bulan, jadi kebanyakan masanya anda sepatutnya bebas untuk keluar meneroka segala yang ditawarkan di negara ini. Semasa cuaca baik, Gaung Taroko merupakan aktiviti bulan Ogos yang popular disebabkan oleh iklimnya yang lebih sejuk, atau anda boleh menikmati sinaran matahari, pemandangan dan bayu laut di pantai-pantai di Taman Negara Kenting. Di wilayah timur bagi Hualien, gunung-ganang dibanjiri bunga-bunga lili berwarna oren terang yang menyediakan latar belakang indah untuk bergambar.
33°C
Tinggi
26°C
Rendah
Selepas musim panas yang hangat, cuaca di Taiwan dalam bulan September lebih selesa. Suhunya menurun – hanya sedikit di selatan, dan lebih ketara di Taipei dan wilayah-wilayah utara lain – dan musim hujan bulan Ogos juga semakin reda. Bulan September masih lagi termasuk dalam musim taufan, tetapi pantai-pantai di selatan kekal popular dalam cuaca cerah.
Suhunya mungkin tidak seperti kebiasaan musim luruh, tetapi salah satu festival di Taiwan pada masa ini boleh mengingatkan anda bahawa musim luruh telah tiba. Festival Pertengahan Musim Luruh – juga dikenali sebagai Festival Bulan merupakan peluang anda untuk menikmati kuih bulan dan menyertai warga tempatan membuat barbeku di tepi sungai di Taipei. Memandangkan ia festival kalendar lunar, tarikhnya berbeza-beza, tapi ia biasanya jatuh pada bulan September. Acara lain yang wajar diberi perhatian termasuk Festival Seni Taipei dan Karnival Renang Antarabangsa Tasik Sun Moon – aktiviti renang merentasi tasik yang terbesar di negara ini menarik puluhan ribu peserta.
31°C
Tinggi
25°C
Rendah
Cuaca Oktober yang panas dan biasanya kering menjadikannya salah satu bulan terbaik untuk melawat Taiwan. Dengan purata suhu 24°C dan tiupan bayu yang menyejukkan suasana, ia merupakan masa yang ideal untuk mengunjungi kawasan pergunungan dan melihat hutan-hutan yang kini dipenuhi warna-warna musim luruh. Tempat yang popular untuk aktiviti ini ialah Alishan, di mana jika anda bangun cukup awal, anda juga berpeluang menyaksikan matahari terbit di atas hamparan awan yang terapung di bahagian bawah gunung.
Di bandar juga ada banyak yang boleh anda lakukan. Taiwan Pride merupakan sambutan LGBTQ+ yang terbesar di Asia Timur, dengan perarakan yang meriah dan orang ramai berpakaian berwarna-warni memenuhi jalanan di Taipei. Musim parti kini tiba di Taichung – festival jazz tahunan yang menarik ramai penghibur Taiwan dan antarabangsa terkemuka untuk festival selama seminggu yang sarat dengan muzik pada setiap bulan Oktober.
27°C
Tinggi
22°C
Rendah
Berdasarkan standard Taiwan, November merupakan bulan yang sejuk dan selesa untuk melawat negara ini. Purata suhu ialah sekitar 20°C, dan anda juga akan mendapat sinaran matahari di wilayah Taichung dan Kaohsiung. Taipei biasanya sedikit mendung dan sedikit hujan, tetapi jaket nipis sudah memadai untuk rasa selesa di sini.
Walaupun keadaan cuacanya baik, ia merupakan antara bulan yang lebih tenang daripada kunjungan pelancong. Rebut peluang ini untuk menerokai beberapa tarikan utama seperti Gunung Gajah, Jalan Lama Jiufen atau Pagoda Naga dan Harimau. Jika anda di Taipei pada bulan November, dapatkan tempat untuk tayangan di Festival Filem Golden Horse yang berprestij, dan pastikan untuk jimatkan masa dengan mengalas perut anda dengan makanan jalanan di Pasar Malam Shilin.
25°C
Tinggi
19°C
Rendah
Disember merupakan salah satu bulan paling sejuk di Taiwan, dengan purata suhu sekitar 15°C hingga 19°C. Ia juga merupakan bulan paling kering, khususnya di bandar-bandar selatan seperti Kaohsiung dan Tainan. Waktu siang di Taipei mungkin sedikit kelam, tetapi lampu Krismas dan Bunga Api Malam Tahun Baru di Taipei 101 akan memeriahkan suasana ibu kota ini menjelang hujung bulan.
Ada banyak yang boleh anda lakukan pada hari-hari terakhir menjelang sambutan hujung tahun pada bulan Disember. Cuaca musim sejuk yang sederhana menjadikan aktiviti berendam di dalam mata air panas di Beitou dan Wulai satu idea yang menarik. Atau, jika anda di bahagian selatan Taiwan, pameran Art Kaohsiung mempamerkan karya-karya kontemporari daripada bakat tempatan yang mempunyai kemajuan baik dan mungkin berjaya pada masa akan datang. Bulan Disember juga menyaksikan pelari-pelari Maraton Taipei beradu tenaga di ibu kota ini – sorakkan mereka atau daftar dan sertai sendiri sebagai satu cara menarik untuk menerokai bandar ini.
20°C
Tinggi
15°C
Rendah
Anda akan mendapat cuaca yang terbaik di Taiwan dari bulan Februari hingga April dan Oktober hingga Disember. Musim panas membawakan suhu yang tinggi, hujan yang singkat tetapi lebat diiringi dengan petir serta taufan sekali-sekala – jadi bulan-bulan sebelum dan selepasnya menawarkan suasana yang lebih menyenangkan. Baju hujan masih wajar dibawa jika anda di wilayah utara seperti Taipei dari bulan Februari hingga April, manakala hari-harinya sepatutnya lebih kering dari bulan Oktober hingga Disember. Bandar di wilayah selatan dan tengah seperti Kaohsiung dan Taichung biasanya kering pada musim bunga dan luruh, dengan suhu sekitar 20 darjah Celsius, malah turut menerima sedikit sinaran matahari di bulan Disember.
Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Taipei | Tinggi | 19°C | 20°C | 22°C | 26°C | 29°C | 32°C | 34°C | 33°C | 31°C | 27°C | 25°C | 20°C |
Rendah | 14°C | 14°C | 16°C | 19°C | 23°C | 26°C | 27°C | 26°C | 25°C | 22°C | 19°C | 15°C | |
Kos penginapan di Taiwan
Ingin melancong dengan bijak? Di sini, anda boleh lihat purata kos bagi penginapan setiap malam di Taiwan.
Tempat terbaik untuk dikunjungi di Taiwan
Jom usha beberapa bandar paling popular, tempat untuk dikunjungi dan aktiviti-aktiviti di Taiwan!
Taipei
Popular pada bulan Disember
Pengangkutan Awam yang Mudah, Pasar Malam, Makanan
Taichung
Popular pada bulan Ogos
Pasar Malam, Makanan Tempatan, Makanan
Kaohsiung
Popular pada bulan Mac
Pasar Malam, Makanan Tempatan, Rehat
Tainan
Popular pada bulan Ogos
Makanan Tempatan, Makanan Jalanan, Makanan
Taitung City
Popular pada bulan Julai
Alam Semulajadi, Pemandangan, Udara Bersih
Chiayi City
Popular pada bulan Februari
Makanan Tempatan, Pasar Malam, Makanan Jalanan
Sudah sedia untuk melawat Taiwan?
Masukkan tarikh anda untuk dapatkan tempat penginapan idaman di Taiwan!
We didnt have much time to explore Hualien because of this is out stop for Taroko Gorge tour only. Will come again and exploring the beautiful Hualien. Very nice and friendly place to visit.
I NEED TO STAY THERE ABOUT 4 DAYS TO COVER ALL PLACE
sarapan yang disediakan sangat sedap, suasana yang sejuk adalah idaman saya, suka sangat suasana rekaan bilik tidur seperti bilik tidur rumah sendiri
Inspirasi untuk lawatan anda ke Taiwan