Nothing Special   »   [go: up one dir, main page]

Taming Sari

pendekar Jawa

Taming Sari (Jawi: تميڠ سري/ تاميڠ ساري) ialah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang tersebut dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari ialah seorang hulubalang yang paling handal di Majapahit ketika itu dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada, untuk membunuh Hang Tuah.[perlu rujukan]

Taming Sari dikatakan seorang yang kebal tidak dapat dicederakan oleh senjata. Bagaimanapun, kekebalannya adalah terletak pada keris yang digunakannya. Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya merampas keris Taming Sari dan menggunakan keris itu untuk menikamnya hingga mati.

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, raja Majapahit Suraprabhawa telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Keris ini dikenali dengan nama Keris Taming Sari dan telah dibawa pulang ke Melaka.[perlu rujukan] Keris yang sama juga telah digunakan oleh Hang Jebat untuk menderhaka Sultan Melaka. Hang Jebat juga dikatakan kebal kerana memiliki keris Taming Sari. Dalam pertarungannya yang terakhir dengan Hang Tuah, keris Taming Sari telah berjaya dirampas semula oleh Hang Tuah yang kemudiannya menikam mati Hang Jebat.

Selepas kejatuhan empayar Melayu Melaka, tidak lagi diketahui ke mana perginya keris Taming Sari ini. Pelbagai kisah dan mitos tersebar mengenai keris ini. Ada yang mengatakan bahawa keris ini telah hilang bersama-sama Hang Tuah di Hulu Muar selepas Hang Tuah gagal membawa pulang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka. Ada pula yang percaya bahawa keris Taming Sari telah dibawa ke Perak dan disimpan oleh keturunan Raja-raja Perak.

Rujukan

sunting