Pisau Cukur
Pisau Cukur ialah sebuah filem komedi misteri Malaysia 2009 yang ditayangkan kepada umum mulai 5 November 2009. Filem terbitan Redfilms ini dibintangi oleh Nur Fazura, Maya Karin, Aaron Aziz, Redza Minhat dan Eizlan Yusof di bawah arahan Bernard Chauly. Ini merupakan kali ketiga Bernard mengarahkan filem cetera untuk tayangan pawagam selepas Gol & Gincu dan Goodbye Boys.
Pisau Cukur | |
---|---|
Pengarah | Bernard Chauly |
Penulis | Rafidah Abdullah |
Lakon layar | Rafidah Abdullah |
Cerita oleh | Rafidah Abdullah |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | Nur Fazura Maya Karin Aaron Aziz Redza Minhat Eizlan Yusof [1] |
Sinematografi | Haris Hue Abdullah |
Disunting oleh | Farra Aizurin Zulkarnain |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 104 minit[2] |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.40 juta |
Pecah panggung | RM 2.32 juta[3] |
Tajuk filem ini berasal dari simpulan bahasa "pisau cukur" yang bermaksud perempuan yang menghabiskan wang atau harta teman lelakinya dengan sewenang-wenangnya.
Sinopsis
suntingApa yang akan terjadi bila mangsa dan pemburu sama-sama terperangkap di atas kapal percutian mewah? Dua orang gadis pisau cukur, Bella dan Intan, bertembung dengan tiga orang Datuk, tiga orang isteri Datuk, dua orang anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu? Dalam pelayaran yang penuh kejutan dan kelucuan, apa pun boleh terjadi!
Pelakon
suntingPelakon utama
sunting- Nur Fazura sebagai Intan
Intan merupakan seorang penyampai dan personaliti TV yang mengacarakan sebuah rancangan popular bertajuk "Jejak Jenayah". Sebenarnya Intan memang bercita-cita untuk menjadi penyampai TV sejak kecil lagi selepas melihat ramai pengacara wanita TV3 akhirnya berkahwin dengan orang yang kaya dan ternama. Kini, Intan juga telah berjaya mendapatkan calon suami yang berpangkat iaitu Datuk Salleh, seorang ahli politik yang sudah pun berkeluarga. Datuk Salleh memanjakan Intan dengan hadiah-hadiah mewah seperti kereta, pakaian dan aksesori berjenama, serta percutian-percutian ke luar negara. Lalu, Intan pun sudah biasa dengan hidup senang. Bila Datuk Salleh tidak dapat pergi bercuti dengannya di atas kapal persiaran, Intan merajuk dan memutuskan untuk pergi sendiri bersama rakan serumahnya, Bella. Setibanya di atas kapal, Intan cuba mencari calon suami yang kaya untuk Bella. Mereka terserempak dengan Ari, seorang penyiasat persendirian yang pernah diupah oleh isteri Datuk Salleh untuk mengekori Intan. Intan yang memang tidak puas hati dengan Ari mula memerhatikan gerak-gerinya untuk memastikan mengapa sebenarnya Ari berada di situ. Bila salah seorang penumpang kapal dijumpai terbunuh, Intan dan Ari sama-sama menyiasat kes tersebut dan mendapati mereka sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain… Walaupun pada luarannya Intan kelihatan seperti seorang yang pentingkan diri sendiri semata-mata, pada hakikatnya dia seorang kawan yang amat setia. Dia juga panjang akal dan penuh dengan sifat ingin tahu. Sikapnya yang nakal, periang dan berani memberikannya daya penarik yang cukup hebat.[4]
- Maya Karin sebagai Isabella (Bella)
- Amelia Henderson sebagai Isabella (Bella) kecil
Bella datang dari keluarga susah dan telah dijaga oleh neneknya selepas kematian ibu bapanya pada usia yang muda. Nenek Bella selalu memberitahunya yang arwah ibu Bella telah mensia-siakan hidup dengan mengahwini seorang pelaut miskin yang akhirnya pergi tanpa meninggalkan sesen pun. Oleh sebab itu, dari kecil lagi Bella mengidamkan suami yang kaya sebagai jalan keluar dari kemiskinan. Bella tidak ingin anak-anaknya kelak menjalani hidup susah seperti dirinya sendiri. Lantas dia berusaha membentuk dirinya menjadi calon isteri yang sempurna untuk lelaki yang kaya dan berpangkat. Selepas meninggalkan sekolah, dia memulakan kerjaya sebagai pramugari dan telah cuba mencari calon suami dari kalangan penumpang yang kaya. Namun selepas bertahun-tahun, dia masih tidak berjaya, lantas dia memutuskan untuk berhenti kerja demi menyertai rancangan realiti "Siapa Nak Kahwin Jutawan?". Nasib Bella begitu malang ; di pengakhiran rancangan tersebut, si jutawan telah memutuskan untuk berkahwin dengan peserta yang lain. Bella kini tanpa pekerjaan, tanpa calon suami dan dengan reputasi sebagai gadis mata duitan. Untuk menghiburkan hatinya, rakan serumahnya Intan telah membawanya bercuti di atas kapal persiaran. Memandangkan ramai orang kaya turut belayar bersama mereka, inilah peluang Bella untuk mencari calon suami baru. Calon tersebut muncul bila Bella bertemu dengan Datuk Hisham. Namun begitu, Bella segera mendapati yang hubungan baru ini bukan semudah yang disangka. Bella sebenarnya tidak mempunyai naluri seorang pisau cukur, namun dia berpendapat apalah susahnya berkahwin dengan seseorang lelaki semata-mata untuk duit. Perwatakannya yang manis, anggun dan lemah-lembut menjadikannya seorang yang cukup menawan di mata lelaki.[4]
- Aaron Aziz sebagai Ari
Ari merupakan seorang penyiasat persendirian dengan agensi penyiasatannya sendiri. Dia pernah bertembung dengan Intan bila diupah oleh seorang Datin yang curiga tentang hubungan Intan dengan suaminya. Ari merupakan anak tunggal dan telah dibesarkan oleh ibunya sendirian setelah ayahnya meninggal ketika dia masih kecil. Kenangan suami tersayang begitu kuat di hati ibu Ari, lantas dia tidak berkahwin lagi sehinggalah Ari menjangkau usia tiga puluhan. Ari begitu menyanjungi kesetiaan ibunya terhadap arwah ayahnya, lalu dia berazam tidak akan berkahwin selagi tidak bertemu cinta yang sebegitu hebat. Tugas Ari yang selalu memerlukannya menyiasat kecurangan suami isteri menjadikannya seorang yang sinis terhadap cinta. Dia lebih-lebih lagi tidak mempunyai pandangan yang tinggi terhadap orang seperti Intan yang dirasakan mempergunakan cinta demi mencapai hidup senang. Namun begitu, sedikit demi sedikit Intan berjaya juga meretakkan dinding yang menutup hati Ari.[4]
- Eizlan Yusof sebagai Datuk Hisham
Datuk Hisham merupakan seorang tokoh korporat yang tersohor. Dalam mengendalikan urusan syarikat-syarikat milik keluarganya, Datuk Hisham telah mencipta nama yang disegani. Dengan latar belakangnya dari keluarga kelas atasan, ditambah pula dengan perwatakannya yang terkenal budiman, serta raut wajahnya yang kacak, Datuk Hisham semestinya jatuh ke dalam kategori calon suami yang amat diingini. Setelah kematian isterinya yang tersayang, Datuk Hisham belum lagi menjumpai wanita yang boleh mengisi kekosongan di hatinya. Bukan sebab dia tidak ingin mencari, tetapi situasinya dirumitkan oleh keluarganya yang agak cerewet. Sebagai anak lelaki tunggal, tentu saja keluarganya inginkan hanya yang terbaik untuknya. Arwah isterinya merupakan menantu yang amat disayangi, lalu kini setiap wanita yang muncul di dalam hidup Datuk Hisham pasti diteliti dan dibandingkan oleh keluarganya. Datuk Hisham sendiri sebenarnya seorang yang telus dan serba ringkas, tidak sukakan komplikasi. Bila bertemu dengan Bella, dia serta-merta tertarik.[4]
- Redza Minhat sebagai Faqir
Faqir merupakan salah seorang penumpang kapal percutian yang dinaiki oleh Intan dan Bella. Dengan tidak disangka-sangka, dia terserempak dengan Bella yang telah diminatinya sejak menonton "Siapa Nak Kahwin Jutawan?". Walaupun Bella langsung tidak berminat dengannya, Faqir cuba sedaya-upaya untuk mendekati Bella dan akhirnya mereka menjadi kawan. Faqir adalah seseorang yang amat berterus-terang, tidak takut untuk meluahkan fikirannya. Sebab itulah, walaupun rasa tertarik dia tetap tidak dapat mengelak dari bergaduh dengan Bella. Faqir langsung tidak bersetuju dengan pendirian Bella tentang cinta dan wang, namun mula mengambil berat tentang Bella.[4]
Pelakon pembantu
sunting- Rahim Razali sebagai Datuk Zakaria
- Khatijah Tan sebagai Datin Wahidah
- Umie Aida sebagai Naini
- Sharifah Sofia sebagai Sal
- Liyana Jasmay sebagai Suri
- Nas-T sebagai Johan
- Radhi Khalid sebagai Dato Salleh
- Yasmin Yusoff sebagai Hani
Penampilan khas
sunting- Afdlin Shauki sebagai Kapten Kapal
- Nabil Ahmad sebagai Hos/Entrique
- Norman Abdul Halim sebagai Imran (Jutawan)
- Rafidah Abdullah sebagai Penyambut Tetamu Raja
- Kartini Kamarul Ariffin sebagai Pembaca Berita
- Nabila Huda sebagai Natasha
- Othman Hafsham sebagai Tengku Hamash Tengku Jamaluddin
- Bernice Chauly sebagai Cikgu
- Lew Ngai Yuen sebagai Wanita Baran
- Elaine Pedley sebagai Jurulatih Tari
- Henry Golding sebagai Iskandar Tan Sri Murad
Penerbitan
suntingPenggambaran mengambil masa sebanyak 258 jam dalam 25 hari mulai 8 Oktober 2008, diikuti proses suntingan selama 11 minggu. Penggambaran bukan dilakukan di atas kapal sebenar, sebaliknya menggunakan lokasi-lokasi daratan terpilih sebagai bahagian kapal dan teknik CGI yang memakan masa tiga bulan untuk menghasilkan suasana atas kapal di lautan. Kolam renang kawasan perumahan Astaria Apartment di Ampang dijadikan latar dek kapal; babak tarian ballroom di Federal Hotel Kuala Lumpur; kawasan koridor dan bilik tidur kapal dirakam di dalam Le Paris Hotel & Costa Rica Apartments, Port Dickson; lobi hotel di Sheraton Subang Jaya; dan jeti labuhan kapal di Laguna Park, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Penggambaran babak di luar kapal menggunakan litupan skrin biru dan hijau untuk menutup persekitaran asal serta membantu proses CGI. Premis Red Communications (syarikat induk Redfilms) turut dijadikan lokasi penggambaran, iaitu di bilik pejabat (pusat perniagaan dan perpustakaan) dan bilik bawah tanah (peti simpanan ais kapal).[5]
Keluaran dan sambutan
suntingHasil kutipan
suntingPada hujung minggu pertama tayangannya (5–8 November), kutipan Pisau Cukur dilaporkan mencecah paras RM 1 juta dari 43 pawagam,[6] sekaligus meletakkannya di tangga teratas carta kutipan filem pada tempoh tersebut.[7]
Ulasan
suntingShazryn Mohd. Faizal dalam akhbar Utusan Malaysia memuji kematangan karya Bernard Cahuly ini dengan mengulas "Pisau Cukur diolah dengan begitu baik dan ia menonjolkan permasalahan dan realiti hidup di kalangan wanita moden hari ini yang menjadi pisau cukur. Meskipun begitu, ia diceritakan dengan begitu kreatif lalu membuatkan kita berfikir bahawa wanita-wanita seperti ini bukannya jahat dan mereka sebenarnya ada matlamat hidup yang mahu dicapai."[8]
Anugerah dan pencalonan
suntingTahun | Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2010 | Festival Filem Malaysia ke-23 | Pelakon Wanita Terbaik | Maya Karin | Tercalon |
Poster Terbaik | Pisau Cukur | Tercalon | ||
Pelakon Harapan Lelaki | Redza Minhat | Tercalon | ||
Filem Komedi Terbaik | Pisau Cukur | Tercalon |
Rujukan
sunting- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-06. Dicapai pada 2017-11-02.
- ^ http://malaysia.movies.yahoo.com/Pisau+Cukur/movie/15368/
- ^ http://www.finas.gov.my/index.php?mod=industry&sub=cereka&p=Filem2009
- ^ a b c d e Profil Watak-watak Pisau Cukur
- ^ Nota Produksi
- ^ "Pisau Cukur Dapat Lebih RM1 Juta". Berita Harian. 11 November 2009. Dicapai pada 11 November 2009.
- ^ Nur Safina Othman (11 November 2009). "Gold diggers strike gold". CinemaOnline. Dicapai pada 11 November 2009.
- ^ Shazryn Mohd. Faizal (5 November 2009). "Karya matang Bernard Chauly". Utusan Malaysia. Dicapai pada 11 November 2009.