Aorta
Arteri terbesar dalam badan manusia, aorta berpunca daripada ventrikel kiri jantung dan membawa darah beroksigen kepada semua bahagian badan dalam peredaran sistemik.
Laluan aorta
[sunting | sunting sumber]Bahagian awal aorta, aorta menaik, muncul keluar daripada ventrikel kiri, yang mana diasingkan oleh injap aortik. Kedua-dua arteri koronari jantung bercabang daripada pangkal aortic, di atas injap aortik.
Aorta kemudiannya melengkung balik mengelilingi arteri pulmonari. Tiga pembuluh darah muncul keluar daripada lengkungan aortik ini, iaitu arteri brakiosefalik, arteri karotid kiri biasa, dan arteri subklavian kiri biasa. Pembuluh-pembuluh ini membekalkan darah kepada kepala dan bahagian lengan.
Aorta kemudiannya menuruni tubuh badan. Bahagian atas diafragma (dalam toraks) dipanggil aorta toraks dan bahagian bawah diafragma (dalam abdomen) dipanggil aorta abdomen.
Semasa ia bergerak ke bawah dinding posterior abdomen, aorta abdomen beredar pada kiri vena kava inferior, bercabang-cabang menjadi salur darah utama pada perut dan usus, dan juga ginjal. Terdapat banyak bentuk cabangan yang boleh dikenalpasti dalam vaskulatur sistem pencernaan. Bentuk yang paling umum ialah cabangan aorta membentuk celiac trunk, arteri mesentri superior, dan juga arteri mesentri inferior. Arteri renal biasanya bercabang daripada aorta abdomen di antara celiac trunk dan arteri mesentri superior.
Aorta berakhir dengan berbahagi menjadi dua cabangan, iaitu arteri ilium biasa kiri dan kanan untuk membekalkan darah kepada anggota-anggota bawah dan pelvis.
Ciri-ciri
[sunting | sunting sumber]Aorta adalah arteri kenyal, dan dengan itu dapat mengembang sedikit. Apabila ventrikel kiri mengecut untuk memaksa darah mengalir menerusi aorta, aorta mengembang. Regangan ini memberikan tenaga keupayaan yang akan membantu mengekalkan tekanan darah sewaktu diastol, kerana semasa itu, aorta akan mengecut secara pasif.