KISAH anak menghalau ibu, anak dan bapa bermasam muka bertahun lama dan adik-beradik putus saudara disebabkan harta pusaka bukan sesuatu yang baru dalam masyarakat kita.
Disebabkan berebut harta pusaka sama ada tanah, rumah, wang ringgit hatta sebuah motosikal sekali pun, hubungan kekeluargaan yang terjalin boleh putus sekelip mata. Orang yang dulunya disayangi secara tiba-tiba menjadi musuh.
Dan baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pula dilaporkan berkata, kurang kesedaran dan kemampuan aliran tunai menyebabkan aset milik individu yang meninggal dunia berjumlah kira-kira
RM42 bilion masih tidak dituntut waris mereka dan tersimpan di
Amanah Raya Berhad. Menurutnya, rakyat Malaysia masih kurang sedar mengenai kepentingan wasiat menyebabkan banyak aset serta harta tidak diurus dengan baik, malah ada yang dibekukan.
Daripada apa dikatakan Dr Awang Adek dapat disimpulkan bahawa sebab utama harta pusaka terbeku disebabkan orang Islam tidak membuat
wasiat. Walaupun hujah itu ada kebenarannya, namun ia tidak menyelesaikan masalah harta pusaka terbeku secara total kerana risikonya tetap ada meskipun membuat
wasiat.
Terdapat dua faktor utama kenapa masalah
harta pusaka terbeku berlaku di Malaysia iaitu waris tidak mempunyai
masa dan
kos pengurusan harta pusaka yang mahal.
Waris tidak mempunyai masa, tambahan pula urusan itu hanya boleh dibuat pada waktu dan hari bekerja saja menyebabkan mereka terpaksa mengambil cuti, berkumpul di rumah bapa atau ibu sebelum hadir beramai-ramai ke pejabat organisasi yang menguruskan
harta pusaka. Atas sebab itu kebanyakan waris memilih menangguh daripada memulakan prosiding
harta pusaka kerana mereka ingin mencari masa sesuai dan benar-benar lapang. Namun bila masanya waris ada waktu lapang? Sementara menunggu waktu semua waris benar-benar lapang, ada pula yang meninggal dunia menyebabkan proses harta pusaka menjadi lebih sukar kerana bilangan waris semakin ramai atas sebab anak-anak atau pasangan kepada waris yang meninggal dunia itu pula menjadi gantian.
Jadi walaupun ada
wasiat, jika waris melambat-lambatkan mengambil cuti untuk menyertai rombongan beramai-ramai ke organisasi
pengurusan harta pusaka, ia tetap lambat diuruskan.
Faktor kedua ialah
kos pengurusan harta pusaka di Malaysia mahal dan waris keberatan mengambil langkah permulaan kerana anggapan biasa siapa yang mengambil inisiatif, dialah yang terpaksa menanggung kos permulaan seperti caj buka fail yang biasanya antara RM500 sehingga beberapa ribu ringgit. Walaupun hakikatnya caj ini boleh dituntut semula daripada harta pusaka si mati, namun tidak ramai waris bersedia untuk mengeluarkan pembayaran pendahuluan kerana berfikir waris lain juga ada bahagian jadi kenapa mereka yang kena bayar dulu.
Kos membuka fail hanya permulaan kerana terdapat kos lain yang dikenakan untuk perkhidmatan
pengurusan harta pusaka antaranya bayaran profesional yang kebiasaannya antara satu hingga lima peratus daripada nilai harta pusaka. Ini tidak termasuk kos lain seperti kos carian, kos guaman, kos perjalanan, kos pentadbiran dan sebagainya. Hakikatnya, walaupun si mati meninggalkan wasiat, kos itu terpaksa ditanggung waris atau ditolak daripada harta pusaka yang ditinggalkan. Selain dua faktor itu, penasihat agensi perunding harta pusaka
Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd, Ariffin Sabirin berkata, umat Islam perlu faham di dalam konteks wasiat, terdapat dua fungsi berbeza yang dimainkan iaitu
pentadbiran harta pusaka dan pengagihan harta pusaka. “Di dalam fungsi wasiat sebagai instrumen
pentadbiran harta pusaka, wasiat seperti ini dibicarakan mengikut Undang-Undang Sivil iaitu di Pejabat Pesaka Kecil (bagi harta pusaka bernilai RM2 juta ke bawah) dan Mahkamah Tinggi Sivil (bagi harta pusaka bernilai RM2 juta ke atas).
“Fungsi wasiat yang melantik wasi hanya berkuatkuasa bagi kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil iaitu bernilai RM2 juta ke atas manakala bagi kes yang dibicarakan di Pejabat Pesaka Kecil,
wasiat yang melantik wasi ini hanya akan berkuatkuasa sekiranya dipersetujui waris,” katanya. Dalam kata lain, menurutnya, sekiranya waris tidak bersetuju dengan pelantikan wasi yang dibuat di dalam
wasiat itu, mereka boleh bermuafakat melantik wasi di kalangan waris sendiri. “Maka timbul isu lain. Jika wasiat seperti ini tidak berkuat kuasa, kenapa perlu kita membuat
wasiat dan 99 peratus daripada wasiat yang dibuat oleh orang Islam di Malaysia tergolong di dalam kategori ini,” katanya. Beliau berkata, fungsi wasiat sebagai instrumen pengagihan harta pusaka pula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah. “
Wasiat di sini secara khusus merujuk kepada hasrat pewasiat untuk membahagi-bahagikan harta pusakanya pada takat maksimum kepada bukan waris. Bukan waris di sini merujuk kepada individu yang tidak menerima
harta pusaka mengikut
hukum faraid.
“Isunya pula,
wasiat digembar-gemburkan sebagai instrumen untuk membahagikan
harta pusaka sedangkan hakikatnya, pembahagian ini hanya efektif untuk bukan waris. Wasiat kepada waris hanya boleh terlaksana jika dipersetujui semua waris selepas kematian pewasiat. “Sekiranya mereka tidak bersetuju, pembahagian mengikut hukum faraid akan dilaksanakan. Maka timbul satu lagi isu iaitu jika
wasiat membahagikan harta ini tidak efektif kecuali kepada bukan waris itupun pada takat maksimum satu per tiga saja, kenapa perlu kita membuat wasiat,” katanya. Ariffin berkata, daripada huraian itu jelaslah bahawa wasiat sebenarnya mempunyai fungsi sangat terhad dalam konteks pengurusan harta pusaka orang Islam. “Bagi orang bukan Islam, wasiat memang instrumen perancangan harta pusaka yang terpenting, tetapi bagi orang Islam, hanya dua kategori yang memerlukan
wasiat iaitu orang yang mempunyai nilai harta pusaka RM2 juta ke atas dan orang yang mempunyai hasrat untuk membahagikan hartanya pada takat maksimum satu pertiga kepada bukan waris,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman
hukum faraid antara waris selain pewasiat menyediakan dokumen tepat atau
hibah (hadiah) dan melantik pegawai daripada agensi pengurusan harta pusaka untuk berkhidmat secara peribadi menjadi penyelesaian terhadap isu perebutan
harta pusaka, selain mengelak harta itu terbeku akibat pewaris enggan memberi kerjasama.
“Wasiat dilaksanakan bagi membahagi harta di kalangan waris, namun tidak semestinya waris bersetuju dengan kaedah pembahagian itu sehingga boleh menyebabkan pergaduhan selain proses pembahagian harta itu gagal dilakukan.
“Dengan menyediakan dokumen lengkap atau
hibah, ia boleh dikuatkuasakan walaupun ada di kalangan waris tidak bersetuju. Si pewasiat boleh menghibahkan hartanya kepada waris pada kadar tertentu, walaupun ada waris lain tidak bersetuju.
“Malah, jika berlaku sesuatu, si pewasiat boleh menarik balik harta yang dihibahkan kepada waris tertentu dan ia dikuat kuasakan di mahkamah,” katanya.
Menurutnya, dengan melantik pegawai untuk berkhidmat secara peribadi, masalah mencari masa sesuai dapat diselesaikan kerana agensi pemegang amanah itu boleh hadir walaupun di hujung minggu bagi membincangkan isu
pembahagian harta pusaka selain memberi khidmat nasihat.
“Menerusi kaedah
hibah si pewasiat boleh merancang hartanya sendiri ketika dia masih hidup dan memperuntukkan secara tepat apakah harta yang dia mahu wariskan kepada isteri dan anak-anak.
“Ia sekali gus memastikan masalah pusaka yang dihadapinya kini tidak akan dihadapi isteri atau anak-anaknya kelak,” katanya. Kesimpulannya, pertikaian harta pusaka boleh menjejaskan secara serius hubungan di dalam keluarga, tetapi dapat dielakkan jika perancangan harta secara bertulis dapat dibuat awal.
Oleh Muhd Izawan Baharin
Penulis wartawan Harian Metro